Isteri Guan Eng terkejut, sedih dituduh terlibat tiga kes pengubahan wang haram

BAGAN JERMAL – Betty Chew Gek Cheng, isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terkejut dan sedih kerana dituduh terlibat dalam tiga kes pengubahan wang haram, dekat Mahkamah Sesyen Butterworth di sini pada pagi tadi.

Bercakap kepada pemberita, Gek Cheng berkata bahawa segala terimaan wang daripada pihak syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd., sebagaimana disebut dalam kertas pertuduhan, sebenarnya adalah fi guaman beliau sebagai peguam bertauliah semata-mata.

“Sebenarnya saya terkejut kerana tiga pertuduhan ke atas saya (walhal) saya adalah peguam bertauliah.

“Adakah kerana saya isteri kepada Lim Guan Eng, maka saya ditekan sebegini.

“Adakah ingin saya memutuskan hubungan kekeluargaan dengan Lim Guan Eng, baru saya dilepaskan.

“Ini sangat teruk dan mengejutkan,” jelasnya dalam sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Bagan di sini pada 11 Ogos 2020.

Bercakap dalam sidang media sama, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menyatakan bahawa tiga pendakwaan terhadap Gek Cheng itu hanya bermotif politik balas dendam terhadap dirinya.

Malah, beliau berkata bahawa hatinya begitu gelisah apabila isterinya turut diheret ke kandang pendakwaan perbicaraan pada pagi tadi.

“Ini dendam politik, kalau dendam kepada saya, lakukan ke atas saya, tak perlu lah melibatkan isteri dan keluarga saya.

“Ini, adalah suatu cabaran yang lebih susah kerana melibatkan isteri saya kerana beliau juga kena dakwa, saya tak boleh bayang bagaimana permainan politik begitu kotor pada kali ini,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) kebangsaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang; Gobind Singh Deo (Ketua Pembelaan Kepada Guan Eng merangkap Ahli Parlimen Puchong); Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Johor); beberapa pemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang turut sertai sidang media sebagai tanda solidariti terhadap keluarga Guan Eng di sini.

Pada pagi tadi, Gek Cheng menghadapi tiga pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pertuduhan pertama, Gek Cheng didakwa telah menerima wang berjumlah RM87,009 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd..

Pertuduhan kedua, beliau didakwa telah menerima wang berjumlah RM180,000.00 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd..

Manakala pertuduhan ketiga pula, Gek Cheng didakwa telah menerima wang berjumlah RM105,000.00 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd..

Berdasarkan Seksyen 4(1)(a) akta berkenaan, jika sabit bersalah, tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi lima juta ringgit; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun; atau kedua-duanya.

Selain itu, pada pagi tadi juga, Guan Eng didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Penang Development Corporation (PDC) bagi tempoh antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 telah menggunakan kedudukan kamu untuk suapan, iaitu, wang berjumlah RM372,009.00 bagi isteri kamu iaitu Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd., dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan yang bernilai RM11,610,000.00.

Jika disabit bersalah di bawah seksyen 23 ASPRM 2009, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun; dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau sepuluh ribu ringgit mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Turut didakwa, ahli perniagaan Phang Li Koon iaitu pihak yang menjual rumah peribadi kepada keluarga Guan Eng sebelum ini.

Li Koon dituduh bersubahat dengan Guan Eng dalam suapan wang berjumlah RM372,009.00 bagi Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd., dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, yang bernilai RM11,610,000.00.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & DARWINA MOHD. DAUD