Isu babi hutan ancam penduduk dapat perhatian ADUN

BAYAN LEPAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz menyifatkan ancaman babi hutan di Kampung Sungai Batu mampu mengancam nyawa penduduk selain merosakkan harta benda.

Justeru, beliau menyerahkan sumbangan lima unit perangkap haiwan liar tersebut yang bernilai RM2,800 setiap satu kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Batu Laut semalam.

“Gangguan babi hutan ini berlaku sudah sekian lama, mungkin ada yang akan perli, tetapi bagi saya ancaman haiwan ini juga mampu mengancam nyawa kerana adakalanya berkeliaran sampai depan rumah.

“Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan populasi babi hutan yang dikatakan kira-kira 400 ekor di kawasan Sungai Batu.

“Kalau kita tidak mulakan sekarang masa depan populasi akan bertambah lagi, kerana apa yang saya diberitahu seekor babi hutan mampu melahirkan minimum empat ekor anak,” ujar beliau kepada pemberita ketika menyampaikan perangkap tersebut.

Hadir sama, Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pulau Pinang, Saat Yaakob dan Penghulu bagi kawasan Teluk Kumbar, Khalid Zakaria.

Saat ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan sejak tahun lalu, pihaknya menerima 21 aduan gangguan babi hutan di kawasan Sungai Batu.

“Oleh itu kita tubuhkan jawatankuasa khas menangani perkara ini, antara tindakan lain yang telah diambil termasuklah operasi menembak babi hutan di tengah malam.

“Selepas ini MPKK akan tentukan lokasi untuk meletakkan perangkap tersebut, sekiranya ada yang terperangkap, penduduk perlu terus menghubungi PERHILITAN untuk tindakan lanjut tanpa mengambil tindakan sendiri,” katanya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD