Segera daftar sebagai penerima vaksin, seru Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap individu berkelayakan di negeri ini supaya segera mendaftar sebagai penerima vaksin.

 

Menurut beliau, kadar pendaftaran di Pulau Pinang berada pada tahap sederhana dengan Selangor di tangga teratas yang mencatatkan jumlah 38 peratus daripada jumlah sasaran.

 

“Setakat semalam (24 Mac 2021), bagi negeri Pulau Pinang, seramai 470,010 orang telah mendaftar untuk menerima dos vaksin iaitu 33.9 peratus daripada jumlah sasaran.

 

“Pulau Pinang boleh dikatakan antara negeri yang berada di depan, Selangor merupakan negeri tertinggi (pendaftaran) dengan 38 peratus,” ujarnya pada sidang media di Komtar tadi.

 

Hadir sama Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Ketua Pegawai Ekskutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Dato’ Seri Farizan Darus dan Pengarah Projek SRS Consortium, Szeto Wai Loong.

 

Bagi jumlah penerima vaksin fasa satu pada tempoh masa sama juga, Kon Yeow menyatakan bahawa seramai 31,189 barisan hadapan di negeri Pulau Pinang sudah menerimanya.

 

“Manakala bagi dos kedua, seramai 2,756 orang sudah menerima suntikan tanpa menunggu baki penerima di fasa satu habis,’’ jelasnya.

 

Kon Yeow dalam pada itu juga memaklumkan bahawa fasa dua dan fasa tiga bakal dijalankan serentak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi mempercepatkan proses penerimaan vaksin dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

“Saya difahamkan bahawa fasa dua dan fasa tiga akan dijalankan serentak, jadi individu di bawah fasa tiga mungkin tidak perlu menunggu fasa dua habis baru sampai giliran, ia akan dijalankan serentak.

 

“Apa pun, pendaftaran adalah wajib, baik berada di fasa dua atau tiga, adalah wajib membuat pendaftaran, KKM akan ubah pendekatan, mungkin individu fasa tiga pun boleh dapat vaksin lebih awal daripada apa yang dijadualkan.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut memaklumkan bahawa beliau berada dalam keadaan sihat selepas menerima dos kedua vaksin COVID-19 tiga hari lalu.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD