Isu bekalan kupon parkir – MPPP perlu sedia laporan

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN BARU – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) diminta menyediakan laporan berhubung isu kekurangan stok bekalan kupon parkir oleh kontraktor dilantik baru-baru ini bagi pembentangan mesyuarat Exco di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pihak Majlis (MPPP) perlu menyediakan satu laporan kertas kerja terperinci berhubung kejadian tersebut.

“Setelah stok bekalan ditangani sepenuhnya, Majlis perlu mengemukakan laporan kepada Exco secara terperinci berhubung pemilihan syarikat konsensi ini dan sebab mengapa perkara seperti ini boleh berlaku.

“Pada masa sama, Majlis juga perlu menentukan sama ada syarikat konsensi terbabit masih mampu melaksanakan pembekalan kupon ataupun tidak,” ujarnya pada penganjuran program gotong-royong bersama kakitangan Hotel Eastin di Bayan Baru baru-baru ini di sini.

Terdahulu Kon Yeow merasmikan program tersebut dan turut serta bersama-sama 60 kakitangan Hotel Eastin pada program gotong-royong tahunan berkenaan.

Sebelum ini, MPPP terpaksa memberhentikan buat sementara waktu sistem parkir berkupon yang telah dikuatkuasakan ekoran kegagalan kontraktor dipilih mencetak bekalan pada jumlah mencukupi.

Tambah Kon Yeow, MPPP tidak menangung sebarang kerugian ekoran kejadian itu, tetapi ianya sedikit sebanyak menjejaskan imej dan reputasi Majlis.

“Kesilapan ini membongkar kelemahan dan pemantauan dalaman. Ini kerana proses untuk melaksanakan sistem parkir berkupon ini mengambil masa yang agak lama (dua tahun) untuk diimplementasikan, sepatutnya tiada masalah yang timbul.

“Walau bagaimanapun, diharap kepimpinan MPPP memberi perhatian serius terhadap masalah ini.

“Jika, kesalahan tersebut didapati amat serius, kita bersedia untuk menamatkan dan mengambil alih kutipan bayaran parkir ini,” tegas Kon Yeow.