Jaga kebersihan, waspada denggi

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kes denggi di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan sehingga 189 peratus dalam tempoh lapan minggu tahun ini berbanding 130 kes dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir berkata, sebanyak 376 kes denggi dilaporkan dalam tempoh bermula 1 Januari sehingga 22 Februari tahun ini dengan peningkatan sebanyak 246 kes berbanding tempoh sama tahun lalu (2013).

Jelasnya, terdapat empat lokaliti denggi dikategorikan sebagai wabak terkawal iaitu dua kes dilaporkan di Jalan Seang Tek, Daerah Timur Laut, Taman Seri Impian dan Kampung Berapit, Seberang Perai Tengah (masing-masing 5 dan 7) dan Taman Molek, Seberang Perai Utara (2).

Tambah beliau, tiga kematian denggi turut dilaporkan sehingga minggu ke-lapan (tahun ini) berbanding tiada kematian direkodkan bagi tempoh yang sama tahun 2013.

“Orang ramai diminta supaya terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar, menjalankan gotong-royong, menggunakan ‘repellent’ atau semburan aerosol serta segera mendapatkan rawatan jika mengalami tanda-tanda awal demam denggi,” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (Unit Vektor), Dr. Noorlia Yahaya berkata, peningkatan kes denggi di Pulau Pinang, malah seluruh negara adalah disebabkan banyak faktor dan keadaan cuaca yang ketara merupakan penyumbang penularan utama.

“Selain itu, sikap kebanyakan mangsa denggi yang lambat mendapatkan rawatan turut menjadi faktor  penyumbang peningkatan kes ini,” ujar Noorlia.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya kini sedang giat menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah termasuk kedai-kedai makan taman-taman awam, kemudahan kesihatan, tapak pembinaan dan kawasan  pembinaan terbengkalai.

“Sehingga kini, sejumlah 82,627 pemeriksaan telah dijalankan dan 199 telah menerima kompaun, menerima notis amaran (86) dan premis diarahkan tutup serta-merta (5),” jelas Noorlia yang turut menasihati orang ramai supaya menjaga kebersihan kediaman masing-masing.