Isu diskaun hartanah untuk warga asing, Exco anggap laporan akhbar berbaur fitnah

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menegaskan bahawa isu diskaun kepada warga asing untuk membeli hartanah di negeri ini langsung tidak timbul.

Justeru, beliau menyifatkan laporan berita berjudul “Warga Asing Diberi Diskaun Membeli Hartanah Di Pulau Pinang” yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 13 Mac lalu adalah tidak tepat serta berbaur fitnah.

“Dalam artikel ‘Kerajaan Pulau Pinang utamakan rakyat asing’ adalah satu kenyataan yang langsung tidak tepat dan berbaur fitnah terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri di sini 14 Mac lalu.

Jagdeep memberitahu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang dalam suatu persidangan pada 10 Mac lepas memang ada memohon Kerajaan Negeri mempertimbang semula had siling hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing di negeri ini.

Ketika ini, menurut beliau, Kerajaan Negeri membenarkan warga asing membeli hartanah atas tanah di bahagian pulau dengan had siling harga RM2 juta, serta RM1 juta untuk hartanah berstrata seperti kondominium.

Tambah Jagdeep, Kerajaan Negeri turut melaksanakan kenaan 3 peratus levi atas nilai hartanah yang dijual, demi mengawal pembelian hartanah membabitkan warga asing.

” Kerana ekonomi agak kurang memuaskan, REHDA mengesyor untuk mengurangkan had siling ini kepada RM800,000 untuk hartanah berstrata sahaja, bukan hartanah landed

“Isu diskaun langsung tidak timbul, cadangan yang dibuat adalah pengurangan had siling hartanah-hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing, bukan diskaun diberikan ke atas hartanah tersebut.

“Kerajaan Pulau Pinang utamakan rakyat asing? Saya telah katakan tadi bahawa ini cadangan yang belum ada kata putus yang muktamad dibuat oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Selain itu, Jagdeep memberitahu, Kerajaan Negeri hari ini direkodkan lebih banyak menyediakan semua jenis rumah mampu milik (RMM) untuk warganegara, berbanding era pemimpin Gerakan dan Barisan Nasional (BN) menguasai Pulau Pinang sebelum tahun 2008.

Jagdeep menyanggah kenyataan seorang pemimpin Gerakan yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia juga, kononnya RMM di Pulau Pinang untuk warganegara adalah tidak cukup.

“Dia (pemimpin Gerakan terbabit) kata kita (Kerajaan Negeri) abaikan rakyat biasa dengan tidak membina rumah-rumah mampu milik (RMM) yang mencukupi di Pulau Pinang.

“Saya nak cabar dia, bolehkah dia nafikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2008 telah membina, sedang membina dan akan membina 60,000 unit pelbagai jenis rumah mampu milik (RMM) daripada harga RM42,000 hingga RM300,000?

“Dalam tempoh yang sama, sehingga tahun sudah (2016), Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membina secara fizikal 20,000 rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR), bolehkah dia nafikan, berbanding Kerajaan Negeri (era) Barisan Nasional (BN) dalam tempoh sama dari tahun 2000 hingga 2007, hanya 5,000 unit sahaja.

“Bolehkah dia nafikan bahawa Kerajaan Pusa telah bersetuju memberikan kebenaran kepada mana-mana Kerajaan Negeri untuk meningkatkan (siling) harga rumah kos rendah (KR) daripada RM42,000 kepada RM60,000…kos sederhana rendah (KSR) daripada harga RM72,500 ditingkatkan kepada RM100,000,” tanya beliau sambil mencabar pemimpin Gerakan berkenaan memberikan respons lanjut.