PIP, dialog khas agar keperluan OKU tidak terabai

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Demi meningkatkan mutu penyampaian dan kecekapan sistem pengangkutan awam di negeri ini, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PIP) iaitu pelan pengangkutan yang bersepadu dan menyeluruh.

Di samping mewujudkan rangkaian sistem pengangkutan yang efisien, PIP turut merangkumi aspek penyediaan perkhidmatan mesra pengguna.

Menyedari hakikat itu, Pengerusi Kumpulan Tindakan Aksesibiliti Pulau Pinang (PAAG), Yap Soo Huey mengadakan sesi dialog khas dan pembentangan PIP dengan mensasarkan kumpulan orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan keperluan dan kehendak golongan tersebut tidak diabaikan.

“Tidak dinafikan sebelum ini, keperluan golongan OKU kurang diberi perhatian, walhal, mereka (golongan OKU) juga adalah manusia yang berhak menikmati apa yang dinikmati orang lain.

“Oleh sebab itu, hari ini (6 Mac) kita mengadakan sesi dialog khas dengan melibatkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan individu OKU seluruh Pulau Pinang.

“(Dan) hari ini, kita dengar suara-suara dan pandangan yang diutarakan oleh mereka (golongan OKU)…semestinya Kerajaan Negeri akan mengambil maklum serta memastikan pelaksanaan PIP dioptimumkan sebagai mungkin dengan mengambil kira keperluan golongan OKU,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus. Bercakap kepada pemberita,

Soo Huey memberitahu, salah satu kebimbangan yang disuarakan oleh OKU adalah keupayaan golongan terbabit mengakses kemudahan-kemudahan asas seperti hospital, bank, pejabat pos dan pejabat kerajaan.

“Bukan sahaja PAAG, malah Kerajaan Negeri turut komited bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan perancangan pembangunan seperti PIP ini mengambil kira pandangan daripada semua peringkat termasuk golongan kurang upaya,” ujarnya pada sidang media sejurus sesi pembentangan oleh Pengurus Binaan SRS Consortium Sdn. Bhd., Julian Yeap di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini baru-baru ini,

Dalam pada itu, ahli PAAG yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dr. Tiun Ling Ta berkata, adalah mustahak bagi memastikan semua infrastruktur yang bakal dibangunkan di bawah PIP adalah mesra OKU.

“Sebagai contoh, laluan pejalan kaki di sisi jalan raya seharusnya mempunyai kelebaran antara 1.5 sehingga 1 . 8 meter bagi membolehkan mereka (OKU) yang berkerusi roda menggunakan laluan tersebut sama ada untuk menaiki bas atau sebaliknya.

“Jika laluan pejalan kaki tidak cukup luas, ia akan membahayakan nyawa mereka kerana terpaksa menggunakan jalan raya, seperti sekarang ini,” jelasnya.

Bagi Wong Yoon Loong dari Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM), beliau amat teruja dan pada masa sama mengharapkan agar PIP dapat dilaksanakan dengan mengambil maklum keperluan OKU khususnya mereka yang cacat penglihatan.

“Orang buta yang cacat penglihatan memang bergantung sepenuhnya terhadap medium pengangkutan awam kerana kami tidak mampu memandu.

“(Dan) inisiatif melaksanakan PIP ini amat mustahak kepada kami dan kami amat berharap agar Kerajaan Negeri dapat mendengar maklum balas kami hari ini berhubung pelaksanaannya (PIP),” seru beliau.

Difahamkan, sehingga tahun 2015, seramai 28,353 OKU berdaftar dalam pelbagai kategori kurang upaya di Pulau Pinang termasuk kurang upaya pendengaran, penglihatan, fizikal, pertuturan , mental dan pembelajaran. Manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan setiap negara di dunia mempunyai antara lima hingga 10 peratus penduduknya adalah OKU.