Isu kawasan peneroka bandar, kesesakan trafik dan banjir kilat perlu diberi perhatian segera di Batu Kawan

Admin

PERAI – Beberapa isu yang dihadapi penduduk termasuk masalah di kawasan peneroka bandar, kesesakan lalu lintas dan banjir kilat antara yang perlu diberikan perhatian segera oleh Kerajaan Negeri di Parlimen Batu Kawan.

Calon bagi Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow berkata bahawa isu-isu berkaitan merupakan antara permasalahan yang sering dibangkitkan oleh kebanyakan pengundi di kawasan itu sepanjang sembilan hari kempen berlangsung.

“Seperti yang saya sering katakan, Batu Kawan mempunyai potensi yang baik sebagai koridor ekonomi Pulau Pinang tetapi ia hadir dengan pelbagai cabaran.

“Sebab itulah saya ada di sini sekarang untuk melihat isu-isu ini yang sememangnya memerlukan perhatian segera oleh Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang dekat Pusat Operasi Pilihan Raya Parlimen Batu Kawan di sini sebentar tadi.

Chow Kon Yeow meraikan hari lahir bersama pengamal media.

Mengulas mengenai isu penempatan peneroka bandar, Kon Yeow menjelaskan bahawa kebanyakan perumahan di kawasan berkenaan dibina di atas tanah milik persendirian tanpa perancangan dan kemudahan asas yang sewajarnya seperti jalan raya serta sistem saliran.

“Contohnya, semalam kami melawat ke kawasan Permatang Batu yang menjadi salah satu contoh penempatan di atas tanah persendirian yang tidak terancang meskipun mereka sudah tinggal di sana sejak 30 tahun lalu.

“Oleh itu, kita akan melihat bagaimana Kerajaan Negeri dapat membantu penempatan seperti ini sama ada boleh menggunakan tabung penyelenggaraan perumahan awam untuk melakukan kerja-kerja penambahbaikan seperti pembaikian lif, tangk air, bumbung rosak dan lain-lain,” katanya.

Hadiah yang diterima daripada pengamal media.

Selain itu, Kon Yeow menyatakan bahawa perkembangan koridor ekonomi yang pesat di Batu Kawan juga telah menjana peningkatan daripada segi aliran trafik sekali gus menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas terutamanya di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah dan Bukit Tambun.

“Walaupun dua KADUN ini mempunyai rangkaian jalan yang baik seperti Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Persekutuan dan jalan-jalan negeri tetapi disebabkan koridor ekonomi perkembangan pesat, maka ia telah menjana peningkatan jumlah trafik di dalam serta luar kawasan ini.

“Ini merupakan aspek yang akan kita berikan tumpuan selepas pilihan raya umum (PRU) nanti,” ulasnya lanjut.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa isu banjir kilat juga merupakan salah satu isu yang dihadapi penduduk di Batu Kawan walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan beberapa projek tebatan banjir sebelum ini.

“Di KADUN Perai, kami gembira kerana disebabkan usaha kita selama ini keadaan banjir di sini sudah dapat dikurangkan.

“Di Bukit Tengah pula, selepas Kerajaan Negeri laksanakan beberapa projek sebelum ini, banjir yang serius tidak berlaku sejak beberapa tahun lalu sehinggalah keadaan hujan yang sangat lebat pada Jumaat lalu.

“Intensiti hujan yang terlalu tinggi menyebabkan berlaku banjir dekat beberapa lokaliti di Bukit Tengah yang memerlukan Kerajaan Negeri melihat semula pelaksanaan projek mitigasi banjir atau menambah beberapa komponen lain yang diperlukan,” jelasnya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Pengarah Pilihan Raya bagi Parlimen Batu Kawan, P. David Marshel.

Pada sidang media sama, Kon Yeow turut meraikan hari lahir beliau yang ke-64 bersama rakan-rakan, pasukan jentera Pakatan Harapan, penyokong dan pengamal media.

Kek mengandungi logo Harapan.

Beliau dihadiahkan kek, kolaj gambar serta kad hari lahir yang mengandungi mesej hari jadi yang indah daripada petugas media.

Salah satu kek yang dihadiahkan kepada beliau adalah mengandungi logo Harapan dengan kotak kosong di sebelahnya.

Sebelum menandakan ‘X’ di sebelah logo Harapan, Kon Yeow menyatakan harapan untuk melihat masa depan Malaysia yang lebih cerah.

“Kami berharap rakyat dapat memainkan peranan mereka dan mengundi untuk Malaysia yang lebih baik dan berharap agar orang ramai dapat ‘menukarkan’ kekecewaan mereka daripada ‘Sheraton Move’ kepada tenaga yang lebih positif.

“Kekecewaan sementara (Langkah Sheraton) tidak akan menghalang kami (Pakatan Harapan) daripada mendapatkan semula mandat rakyat untuk melakar masa depan yang lebih cerah untuk negara ini.

“Perjuangan politik kita sangat panjang serta mencabar, dan kami akan teruskan momentum ini tanpa perasaan terlalu yakin,” tegasnya.

Kawasan parlimen Batu Kawan adalah terdiri daripada KADUN Perai, Bukit Tambun dan DUN Bukit Tengah.

Sementara itu, Ramasamy berkata bahawa kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang telah melakukan begitu banyak untuk rakyat di Perai, termasuk projek perumahan dan tebatan banjir.

Choon Aik pula berkata bahawa sokongan yang diberikan kepada Pakatan Harapan di Bukit Tambun adalah sangat menggalakkan.

“Kami merayu kepada pengundi kali pertama dan pengundi muda yang layak untuk mengundi Kerajaan yang berwibawa.

“Jangan biarkan mereka yang tidak mampu mengurus negara terus menguruskannya… ini negara kita yang tercinta dan kita perlu tentukan masa depannya,” ujarnya sambil menggesa rakyat mengikuti laman sosial Pakatan Harapan untuk mengetahui lebih lanjut tentang apa yang boleh ditawarkan oleh gabungan itu kepada rakyat.

Hsiao-Leung berkata, rakyat menyifatkan pencalonan Kon Yeow di Batu Kawan sebagai rangsangan besar kepada Seberang Perai.