Manfaatkan PRU15 untuk menuntut, menebus dan memulihkan semula negara – Kon Yeow

Admin

PERAI – Calon bagi kerusi Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow menyeru kepada seluruh penduduk Pulau Pinang supaya memanfaatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menuntut, menebus dan memulihkan semula negara.

Beliau menyatakan bahawa adalah penting untuk rakyat menebus dan memulihkan semula Malaysia demi masa depan generasi akan datang selain mengelakkan negara ini terjerumus menjadi negara gagal seperti mana yang berlaku kepada beberapa negara lain di seluruh dunia.

“Bagi kami, ini (PRU15) adalah peluang bagi rakyat Malaysia untuk menuntut, menebus, dan memulihkan semula negara kita daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) demi masa depan anak cucu kita.

“Dengan ini, kita boleh membina semula negara tanpa kerajaan kleptokrat dan menebus maruah kita sebagai rakyat negara ini,” tegasnya semasa bercakap pada sidang media yang diadakan dekat Pusat Operasi Pilihan Raya Parlimen Batu Kawan di sini sebentar tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Haraoan turut hadir pada sidang media.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Pengarah Pilihan Raya bagi Parlimen Batu Kawan, P. David Marshel.

Mengulas mengenai usaha Pakatan Harapan (PH) untuk mendekati pengundi muda, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan bahawa pihaknya telah menganjurkan beberapa sesi bersama golongan muda termasuk memperkasakan platform media sosial.

“Pengundi muda merupakan generasi baru Malaysia dan bukan lagi generasi reformasi seperti di akhir tahun 1990-an, jadi peranan sosial media adalah sangat penting kerana mereka lebih berminat mendapatkan maklumat menerusi platform tersebut.

“Di kesempatan ini, saya juga ingin sampaikan mesej yang jelas kepada pengundi muda bahawa mereka juga perlu memainkan peranan untuk menebus dan memulihkan semula negara kita.

“Saya berpendapat golongan muda perlu mengambil maklum perkara mengenai masa depan negara secara lebih serius,” ulasnya lanjut.

Ditanya mengenai rancangan Kerajaan Negeri untuk mencipta lebih banyak peluang kerja untuk golongan muda, Kon Yeow menegaskan bahawa Pulau Pinang tidak mengalami kekurangan peluang pekerjaan sebaliknya berdepan masalah kekurangan tenaga kerja.

“Berbeza dengan negeri-negeri lain, Pulau Pinang bukan berdepan kekurangan peluang pekerjaan sebaliknya kita mengalami kekurangan tenaga kerja.

“Kebanyakan sektor industri mengadu bahawa mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkn tenaga mahir khususnya dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E) serta industri kecil dan sederhana (SMI).

“Inilah cabaran yang kami hadapi iaitu untuk mengekalkan bakat dan menarik tenaga kerja dari luar untuk kerja di sini…justeru, agensi negeri dan Persekutuan juga menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta, ahli akademik dan sekolah-sekolah untuk mengatasi masalah ini,” ujarnya.