Isu kenaikan gaji penjawat awam peringkat negeri akan dibincangkan, respons Ketua Menteri

Admin
d2ae96b2 2663 42cd 9348 89ef0444c861 KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di sini pada 1 Mei 2024.

SUNGAI ACHEH – Isu kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus mulai Disember ini sebagaimana diumumkan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Pekerja 2024 Peringkat Kebangsaan akan dibincangkan dan diteliti pada peringkat Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian dalam sidang media seusai menyertai Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh di Sekolah Kebangsaan Sungai Setar dekat sini pada 1 Mei 2024.

“Kita ada bincang sikit (isu kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus), mungkin perlu butiran yang lebih jelas (daripada Kerajaan Persekutuan).

“Kita perlu lihat juga keadaan kewangan setiap negeri, akan kaji setakat mana penambahan perbelanjaan atau emolument sekiranya kenaikan gaji ini dilaksanakan.

“Kita akan mendengar pandangan Jabatan (Kewangan Negeri) dulu,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow menyatakan bahawa isu kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan tersebut mungkin turut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco akan datang, seusai mendapat pandangan Jabatan Kewangan Negeri.

“Saya percaya ia (isu kenaikan gaji penjawat awam ini) akan menjadi cabaran sesetengah negeri.

“Sekurang-kurangnya dalam Mesyuarat Exco akan datang, akan dibincangkan (isu kenaikan gaji penjawat awam peringkat negeri Pulau Pinang),” ujarnya.

Selain Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar merangkap ADUN Sungai Acheh selaku tuan rumah, Rashidi Zinol; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan dan sekalian Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) turut sertai majlis keramaian di sini tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR