Semakan kali kedua, rumah kepada mereka yang benar layak – Exco

GEORGE TOWN – Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri kini mengetatkan proses pemilihan kelayakan perumahan mampu milik dengan melaksanakan proses penyemakkan semula kali kedua pada peringkat tawaran sebelum surat tawaran dikeluarkan kepada pemohon yang betul-betul layak.

Exco Perancangan Bandar & Desa Dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, bagi melaksanakan proses tersebut, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Semakan kali kedua dibuat adalah bagi memastikan bahawa pemohon belum lagi memiliki rumah sepanjang tempoh permohonan dibuat dan diluluskan.

“Kerjasama dengan PTG dan PBT adalah melalui semakan data dan bayaran cukai pintu dalam memastikan seseorang pemohon masih belum memiliki atau membeli rumah lain selain unit rumah mampu milik yang dipohon menerusi Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun dan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik. Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, pendekatan tersebut adalah disebabkan konflik sesetengah pembeli rumah yang tidak mengemas kini status masing-masing.

“Rumah yang disediakan adalah untuk mereka (pemohon) yang benar-benar layak, iaitu masih belum memiliki rumah dan tidak berkemampuan.

“Tetapi, konflik terjadi apabila mereka (pemohon) tidak mengemas kini semula maklumat hartanah dan juga slip gaji terakhir sehingga menyebabkan rumah yang diberikan (permohonan berjaya) tidak diduduki, malahan lebih teruk lagi, ia dijual atau disewakan kepada orang lain.

“Sekiranya seseorang pemohon didapati memberikan maklumat palsu, kita (Kerajaan Negeri) tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.