Isu pengurusan parkir Persiaran Karpal Singh, pihak terbabit adakan perbincangan

GEORGE TOWN – Perbadanan Ketua Menteri (CMI) bersama-sama pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pengusaha parkir bakal mengadakan pertemuan pada petang ini bagi membincangkan isu pengurusan parkir di Persiaran Karpal Singh dekat Bandar Sri Pinang.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa isu pengurusan parkir tersebut telah berlanjutan sejak tahun 2012.

 

“Kawasan parkir yang terletak di hadapan premis komersial tersebut merupakan kawasan persendirian dan bukannya diserahkan kepada pihak MBPP.

CHOW Kon Yeow.

 

 

“(Namun), apabila tiada badan pengurusan pada masa itu, pengurusan diletakkan di bawah CMI.

 

 

Petang ini, mesyuarat antara pihak berwajib akan diadakan bagi membincangkan isu berkaitan termasuk penetapan kadar bayaran dan tempoh kutipan.

 

“Saya percaya setelah ada ketetapan, maka ia akan diumumkan kepada orang awam kelak,” ujarnya sebagai respons terhadap soalan yang diajukan oleh pemberita sejurus menghadiri Program Edaran Makanan Kepada Golongan B40 di Pusat Kawan Lebuh Klang dekat sini tadi.

 

Menurut Kon Yeow, pihak CMI telah membuat panggilan tender bagi menswastakan tempat parkir tersebut sebanyak tiga kali.

 

“Kali pertama pada tahun 2012, kemudian pada tahun 2014 dan akhir sekali pada 2016.

 

“Memandangkan kawasan tersebut turut mempunyai ruang parkir (di tepi jalan) maka tiada bayaran parkir dikutip.

 

“Selama ini pun (sejak 2012) tiada syarikat yang berminat kerana pengguna mempunyai pilihan untuk meletakkan kenderaan secara percuma di bahu jalan.

 

“Sehinggalah sistem tempat letak kereta secara pintar, Penang Smart Parking diperkenalkan, yang mana diputuskan pemasangan sensor di kawasan yang dimiliki oleh CMI itu,” jelasnya.

 

Terdahulu, terdapat keluhan daripada orang ramai yang mengunjungi kawasan komersial tersebut apabila bayaran parkir mula dikenakan mulai 1 Januari 2021.

 

Berdasarkan papan kenyataan parkir yang terdapat di kawasan tersebut, sebanyak RM3 dikenakan bagi jam pertama dan RM1 bagi jam berikutnya serta bayaran sebanyak RM5 dikenakan sekali masuk selepas jam 6 petang setiap hari.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN