Isu PPR Taman Manggis: “Sekiranya tidak tegas dalam kes pertama ini maka usaha untuk berikan unit kepada pihak layak akan terjejas pada masa hadapan” – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa bersedia untuk mengadakan sebarang rundingan dengan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang diarahkan keluar dari kediaman mereka baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menutup pintu rundingan kepada penduduk berkaitan.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak tutup pintu rundingan, tetapi penguatkuasaan perlu dilaksanakan kerana saya percaya masih banyak PPR yang hadapi masalah sama.

“Sekiranya kita tidak tegas dalam kes pertama ini, maka usaha ‘membersihkan’ unit-unit (terlibat) untuk diberikan kepada pihak yang layak akan terjejas pada masa hadapan,” responsnya ketika ditemui wartawan sejurus merasmikan Program Senamrobik sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota di sini pagi ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow berharap penduduk-penduduk terlibat dapat melihat alternatif lain yang ditawarkan Kerajaan Negeri.

“Sekiranya (mereka) mampu untuk (memiliki) rumah kos rendah dan sederhana rendah, di Pulau Pinang masih banyak unit yang ditawarkan oleh kita (Kerajaan Negeri).

“Saya percaya lebih banyak penerangan (dan penjelasan) mengenai mengapa perlunya dilaksanakan penguatkuasaan (sebegini) disampaikan kepada penduduk (di unit-unit PPR) agar tidak timbul isu seperti ini pada masa hadapan,” katanya ketika diminta mengulas isu penguatkuasaan yang diambil.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa mana-mana pihak yang ingin membantu menyelesaikan isu berkaitan perlu menasihati penduduk terlibat untuk berunding secara relevan dan bukannya dengan ‘berkampung’ di Komtar.

“(Mana-mana) pihak yang ingin membantu perlu menasihati penduduk untuk berunding dan bukannya dengan cara ini.

“Saya pun tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana mungkin pada peringkat awal dahulu, cara unit-unit ini diperuntukan disalah guna.

“Maka, kini kita terima impaknya,” katanya yang berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin dengan mengadakan rundingan berkaitan bersama-sama Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ditanya sama ada wujudnya klausa yang menghalang bukan warganegara menduduki PPR, Kon Yeow meminta supaya perkara itu dirujuk kepada Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Terdahulu, beberapa pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang cuba untuk mengadakan rundingan dan tawaran berhubung isu tersebut, namun ditolak penduduk dan menjadikan isu berkenaan kian berlarutan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN