Pulau Pinang terajui agenda pembangunan wanita dalam negara – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Selaras dengan Dasar Keterangkuman Gender diilhamkan Kerajaan Negeri, penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di setiap KADUN negeri ini membolehkan Pulau Pinang menerajui dalam agenda memajukan pembangunan wanita.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sinonim dengan ungkapan ‘Penang Leads‘, Pulau Pinang menjadi satu-satunya negeri dalam negara yang mewujudkan jawatankuasa yang dianggotai 100 peratus wanita.

 

“Jawatankuasa ini akan memainkan peranannya sebagai pengantara antara Kerajaan Negeri dan komuniti setempat serta sebaliknya.

 

“Selain memastikan penubuhan jawatankuasa ini menerapkan nilai-nilai visi Penang2030, saya percaya ia (JPWK) juga memberi peluang kepada golongan wanita terlibat dalam proses membuat keputusan di peringkat akar umbi.

 

“(Dan) akan membawa perubahan strategik dengan memfokuskan kepada pembangunan wanita dan keluarga,” ujarnya yang turut mengharapkan agar pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini dapat dilaksanakan di seluruh negara kelak.

 

CHOW Kon Yeow (berkemeja-t hijau) turut tidak melepaskan peluang bersenamrobik bersama-sama peserta pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Senamrobik sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 yang diadakan di Padang Kota Lama di sini pagi ini.

 

Program anjuran JPWK Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen serta pimpinan JPWK KADUN Padang Kota.

 

Menurut Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota, Kerajaan Negeri kini menumpukan kepada keseimbangan dalam melaksanakan dasar-dasar di semua lapisan masyarakat.

 

“Malah dalam perbentangan Bajet 2019 Pulau Pinang yang saya bentangkan November tahun lalu, turut ditekankan bahawa ‘Wanita sebagai Tunggak Negeri’.

 

MASIH bertenaga untuk berkayuh selepas senamrobik pagi ini.

“Rentetan itu, (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang memulakan langkah awal dengan menubuhkan portfolio Keterangkuman Gender bagi melaksanakan pelbagai program dengan melibatkan golongan wanita.

 

“Jadi, saya berharap JPWK di semua KADUN dapat memainkan peranan yang diharapkan,” katanya yang memuji keberanian jawatankuasa berkaitan menganjurkan program di peringkat komuniti tersebut.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow turut meluangkan masa bersenamrobik bersama-sama komuniti setempat selain melawat ke ruang pameran yang dijayakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertanian Negeri dan lain-lain agensi berwajib.

 

Difahamkan, program tersebut adalah yang pertama dianjurkan JPWK KADUN Padang Kota melibatkan penyertaan pelbagai agensi dan komuniti setempat.

 

TURUT meluangkan masa melawat ruang pameran.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : CHAN KOK KUAN