Isu tapak cadangan pembinaan tokong tiga tingkat di Teluk Kumbar selesai secara harmoni

BAYAN LEPAS – Isu tapak cadangan bagi pembinaan tokong Cina tiga tingkat di Lot 2044 dekat Teluk Kumbar berjaya diselesaikan secara harmoni hari ini, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng.

Beliau berkata, hasil perbincangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz yang mewakili penduduk dengan Persatuan Amitabha Pulau Pinang telah mencapai kata sepakat untuk memindahkan tapak berkenaan ke kawasan Gertak Sanggul.

“Setelah berbincang, Persatuan Amitabha Pulau Pinang bersetuju memindahkan tapak cadangan pembinaan tokong itu ke tanah lain yang diberi secara ganti oleh Pejabat Tanah dan Daerah Barat Daya (DBD) di kawasan Gertak Sanggul.

“Saya juga telah membawa perkara ini ke dalam Mesyuarat Exco baru-baru ini (8 Januari 2020) serta mendapat pertimbangan daripada semua Ahli Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk memberi kelulusan permohonan merancang bagi mempercepatkan proses pembinaan rumah ibadat ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sua Temu antara penduduk setempat dan Persatuan Amitabha Pulau Pinang, di sini sebentar tadi.

 

Selain Azrul Mahathir, majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Datuk Prof. Dr. Idris Salleh; Pengerusi Penganut Amitabha Pulau Pinang, Ooi Kuan Seng serta penduduk setempat.

Dalam pada itu, Azrul Mahathir dalam ucapannya menjelaskan bahawa beliau menggalas tugas sebagai wakil rakyat adalah untuk menjaga kepentingan semua kaum tanpa mengira latar belakang.

“Kita tidak boleh membantah tanpa memberi pilihan kepada persatuan, selepas beberapa kali mengadakan lawatan bersama Pejabat Daerah, akhirnya persatuan setuju untuk menerima tapak baharu di Lot 210 Mukim 8, Gertak Sanggul berkeluasan 4,900 kaki persegi sebagai ganti.

“Justeru, sikap Persatuan Amitabha Pulau Pinang yang sanggup bertolak ansur demi keharmonian masyarakat setempat amat wajar dipuji,” katanya lagi.

Majlis sua temu berakhir dengan Idris dan Kuan Seng masing-masing melipat kain rentang bantahan sebagai simbolik kepada penyelesaian tersebut.

Malah, Persatuan Amitabha Pulau Pinang turut menjemput penduduk setempat untuk mengadakan lawatan apabila tokong tiga tingkat itu siap kelak, sebagai meraikan kejayaan menyelesaikan perbezaan dalam suasana harmoni.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN