Isu tenaga mahir sektor industri perlu diberi perhatian dalam RMKe-12 – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Isu kekurangan sumber manusia khususnya tenaga kerja mahir dalam sektor industri di negeri Pulau Pinang perlu diberikan perhatian dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa isu tersebut adalah sangat kritikal kerana sering dibangkitkan oleh pemain-pemain industri di negeri ini semasa sesi libat urus bersama-sama Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Kita (Kerajaan Negeri) melihat isu ini sangat rumit dan memerlukan masa yang panjang untuk menanganinya kerana sasaran kita adalah kumpulan perkhidmatan profesional seperti jurutera dan lain-lain.

“Mungkin perkara yang boleh dilakukan oleh pihak Menteri (di Jabatan Perdana Menteri) adalah membantu mewujudkan dasar kemasukan tenaga mahir dari negara luar ke Malaysia atau lain-lain yang berkaitan,” katanya semasa sesi libat urus pasca-RMKe-12 bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustafa Mohamed yang diadakan secara maya sebentar tadi.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan ahli Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen; ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan serta wakil-wakil persatuan serta akademi.

Kon Yeow dalam pada itu juga meminta agar Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bertindak sebagai pemudah cara bagi permohonan projek-projek pembangunan di bawah RMKe-12 di negeri Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri akan bekerja rapat dengan pihak EPU supaya isu berkaitan peruntukan dapat diselaraskan, dan seterusnya memperoleh dana yang diperlukan bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan utama di negeri ini.

“Saya percaya menerusi sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, banyak lagi peluang serta potensi pembangunan yang boleh dimanfaatkan.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri kerana memberi perhatian terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri juga menyahut seruan daripada Menteri untuk menyediakan satu kertas kerja berhubung isu sumber manusia bersama dengan pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan serta pertubuhan-pertubuhan dalam sektor industri,” ujarnya.

Sementara itu, Mustafa berkata bahawa Kerajaan Persekutan akan memfokuskan usaha untuk menarik pelaburan berkualiti di Pulau Pinang dalam RMKe-12.

“Oleh itu, kita berharap agar MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsan dan Industri) serta agensi-agensi lain akan terus menarik pelabur-pelabur berkualiti di Pulau Pinang.

“Ini penting kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan yang amat diperlukan oleh golongan muda terutamanya graduan lepasan ijazah,” ulasnya.

Selain kekurangan tenaga mahir dalam sektor industri, beberapa isu lain termasuk pertanian berteknologi tinggi, gender, wakaf, pembangunan sukan serta projek-projek pembangunan utama lain turut dibincangkan dalam sesi berkenaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD