SUNGAI ACHEH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap isu tempoh kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang mengambil masa terlalu lama sehingga lebih tiga bulan sebagaimana dibangkitkan para penternak sangkar ikan marin di sini dapat segera ditangani Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS).
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa kelulusan segera TOL berkaitan adalah penting bagi sekalian penternak (sangkar ikan marin negeri) mendapatkan Sijil Keempunyaan Lesen (SKL) sangkar ikan marin serta subsidi minyak bagi bot SKL.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi perbincangan dua hala dengan para pemegang taruh dalam sektor perikanan lokal di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh.
“Saya rasa sudah banyak kali isu ini tidak selesai, dan kita (Pihak Berkuasa Negeri) mahu kali ini adalah kali terakhirlah kita dengar masalah yang sama ini.
“Berbalik (kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang), kita uruskan dengan cara dan pendekatan baru, sekurang-kurangnya boleh terima permohonan tiga atau empat bulan sebelum tamat (TOL),” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini pada 9 Mei 2026.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menyambut baik syor daripada sebuah wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya pemberian TOL bertempoh lima hingga tujuh tahun dipertimbang, dengan pembayaran dibuat tiap-tiap tahun bagi menangani isu malar segar yang dihadapi oleh sekalian penternak sangkar ikan marin di Pulau Pinang.
Namun, tambah beliau, ada kekangan untuk melaksanakan cadangan tersebut memandangkan Seksyen 67 Kanun Tanah Negara memperuntukkan sesuatu lesen TOL akan tamat pada 31 Disember tahun berkenaan, tidak kira pada bulan bila lesen tersebut mula dikeluarkan.
Salain itu, Kon Yeow turut berharap Kerajaan Persekutuan melalui Ibu Pejabat Perikanan, Putrajaya dapat memberi solusi holistik berhubung program subsidi minyak untuk vesel/bot SKL yang dikatakan lebih rendah berbanding vesel/bot nelayan.
Ini kerana, menurut beliau, para nelayan rata-rata merungut kuota pemberian subsidi minyak yang diberikan oleh agensi Persekutuan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kepada bot nelayan serta bot SKL adalah tidak mencukupi untuk realiti aktiviti perikanan bagi tempoh sebulan.
Buletin Mutiara difahamkan, kuota subsidi minyak untuk bot SKL diesel sebulan adalah 500 liter atau 200 liter, bergantung pada kuasa kuda enjin, sementara tiap-tiap bot nelayan zon A mendapat subsidi petrol 50 liter sehari (bergantung pada kuasa enjin – maksimum 50 liter).
Berucap pada majlis sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan yang juga ADUN Sungai Acheh, Dato’ Rashidi Zinol turut menzahirkan penghargaan atas komitmen Kon Yeow menyertai Program Pemantauan Khas Ketua Menteri dan Lawatan Kerja Ke Sangkar Akuakultur Marin Sungai Udang serta Sesi Dialog Bersama-sama Pengusaha Sangkar Akuakultur Marin Negeri tersebut.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur Ibu Pejabat Perikanan, Putrajaya, Anuar Salam Sulaiman; Pengurus Kanan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Azian Ahmad; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan SPS, Faizal Nizam Md. Nor dan Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Norazmi Abd. Ghapar.

Pengerusi Koperasi Akuakultur Sungai Udang Pulau Pinang, Tioh Tiang Lai; Setiausaha Pengerusi Persatuan Penternak Akuakultur Pulau Pinang (PENKUA), Aminuddin Mohamad dan Pengerusi Persatuan Penternak Pulau Pinang (PENFISH), Khor Gin Theam antara pemimpin NGO yang turut mengambil bahagian dengan memberikan maklum balas berkaitan, secara langsung kepada Kon Yeow.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT