MACHANG BUBUK – Usaha mewujudkan persekitaran pusat khidmat yang lebih inklusif dan mesra keluarga diterjemahkan menerusi pelancaran Ruang Ceria Madani di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk hari ini.
ADUNnya, Lee Khai Loon berkata, inisiatif tersebut menyediakan ruang khas untuk kanak-kanak bermain, belajar dan meneroka kreativiti sementara ibu bapa berurusan di pusat khidmat.
Ruang Ceria Madani diwujudkan bagi memastikan kanak-kanak yang mengikut ibu bapa ke pusat khidmat mempunyai ruang untuk bermain, berekspresi dan meneroka kreativiti mereka.
“Kita tidak mahu anak-anak hanya menunggu sambil bermain telefon sahaja, sebaliknya ruang ini diwujudkan supaya mereka dapat menikmati masa yang lebih berkualiti dalam suasana yang menyeronokkan dan sihat,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian ruang tersebut di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik hadir menyempurnakan perasmian ruang berkenaan.
Ketika berucap, beliau menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu langkah positif yang dapat membantu ibu bapa hadir berurusan dengan lebih tenang tanpa perlu bimbang mengenai penjagaan anak-anak.
Menurut beliau, kebiasaannya ibu bapa perlu mencari pengasuh atau meninggalkan anak-anak di rumah ketika hadir ke pusat khidmat bagi menyelesaikan sesuatu urusan.
“Namun, kewujudan Ruang Ceria Madani kini membolehkan mereka membawa anak-anak bersama dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif.
Ini merupakan satu inisiatif yang amat baik kerana ia bukan sahaja memudahkan ibu bapa, malah mewujudkan persekitaran pusat khidmat yang lebih inklusif dan mesra keluarga.
“Saya juga melihat ruang ini mempunyai potensi besar untuk diperluaskan menerusi pelbagai program pembangunan keluarga dan kanak-kanak pada masa hadapan serta boleh dijadikan contoh oleh kawasan Dewan Undangan Negeri lain,” katanya yang juga ADUN Bukit Tambun.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha tersebut, Choon Aik turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM2,000 bagi pelaksanaan program-program akan datang melibatkan Ruang Ceria Madani di sini.
Terdahulu, majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pertandingan mewarna, persembahan nyanyian dan deklamasi sajak.
Lebih menarik, Khai Loon turut berkesempatan mengendalikan sesi penceritaan buku kanak-kanak berjudul ‘What We’ll Build‘ yang mengetengahkan nilai kasih sayang, harapan dan usaha membina masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.

Dalam perkembangan sama, Khai Loon turut mempelawa orang ramai menyertai Program Kasih Madani yang akan diadakan pada 16 Mei ini di Taman Eko Rimba Bukit Mertajam.
Difahamkan, program berorientasikan keluarga itu bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan mewarna, sesi penceritaan kanak-kanak dan eksplorasi alam semula jadi melibatkan ibu bapa, anak-anak serta pengasuh.