Jabatan Pertanian bakal urus 147 ekar tanah PERDA demi tingkatkan jaminan makanan negeri

Admin

PENANTI – Kira-kira 147 ekar tanah milik agensi persekutuan, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) akan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri untuk diuruskan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran sektor jaminan makanan negara di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Muhaimin Ibrahim berkata pihaknya akan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan agensi persekutuan tersebut pada hujung bulan Ogos ini.

“Pihak Jabatan Pertanian dan PERDA telah berbincang dan pihak PERDA akan merangka satu MoU dengan Jabatan Pertanian dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Pihak PERDA telah bersetuju untuk menyerahkan kepada Jabatan Pertanian untuk menguruskan tanah seluas 147 ekar bersama-sama 31 struktur pelindung hujan di TKPM (Taman Kekal Pengeluaran Makanan) Ara Kuda.

“(Dan) kita (Jabatan Pertanian Negeri) akan menamakan sebagai TKPM 2 Pulau Pinang, iaitu satu projek yang lebih kepada penggunaan aplikasi teknologi, penglibatan belia serta B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah),” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, selepas acara perasmian pembukaan Ladang Vanila Pintar Pertama Malaysia milik Kairos Agriculture di sini pada 15 Ogos 2020.

KETUA Menteri menyampaikan ucapan dan merasmikan acara pembukaan Ladang Vanila Pintar Pertama Malaysia di sini pada pagi tadi.

Turut serta, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti; Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

27 Mei lepas, Kon Yeow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Pulau Pinang mengadakan lawatan kerja ke kawasan ladang sayur-sayuran bagi meninjau tahap jaminan makanan di negeri ini dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19.

Dalam suatu sesi interaksi di ladang berkenaan, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dimohon berunding dengan PERDA supaya perjanjian pajakan yang dimeterai dilanjutkan mengikut realiti tempoh proses tuaian hasil pertanian, demi kepentingan anggota-anggota koperasi peladang terbabit.

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow berkata pihaknya akan cuba berunding dengan agensi persekutuan berkenaan, sungguhpun telah berlaku perubahan kuasa parti politik di peringkat Kerajaan Pusat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD