Jadikan Pulau Betong hab pertanian dan ekopelancongan – ADUN

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang wajar mempertimbangkan untuk menjadikan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong sebagai hab pertanian dan ekopelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Mohd. Tuah Ismail berkata bahawa langkah tersebut mampu meningkatkan peluang pekerjaan selain dapat menjana ekonomi penduduk setempat.

“Selain pemandangan bukit-bukau dan pantai-pantai yang cantik, keindahan flora serta udara yang nyaman menjadikan Balik Pulau khasnya Pulau Betong sebagai kawasan ekopelancongan bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat Asia.

“Selain itu, kawasan kuala Pulau Betong ke Kem Pasir Panjang turut menjadi tumpuan pelancong dan orang awam serta sesuai dibangunkan sebagai pusat riadah oleh Kerajaan Negeri,” katanya ketika sesi perbahasan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14, sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa penganjuran Festival Balik Pulau (BPF) sebelum ini berjaya menarik hampir 10,000 pengunjung sekaligus meningkatkan aktiviti pelancongan di kawasan berkaitan.

“Justeru, saya syorkan supaya BPF dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri termasuk mengembangkan seni jalanan dengan lukisan aktiviti tempatan dan lukisan kontena,” ujarnya lagi.

Mohd. Tuan turut menyarankan supaya Kerajaan Negeri membangunkan Pulau Betong sebagai hab pertanian dalam usaha meningkatkan industri ladang ternakan tanaman.

“Teknologi agro moden seperti projek tanaman fertigasi, penggunaan dron, tanaman hidroponik dan lain-lain bimbingan amat diperlukan untuk membangunkan golongan petani.

“Selain itu, pertanian bandar juga mendapat permintaan tinggi dalam kalangan petani dan penduduk setempat.

“Oleh itu, perancangan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan 100 hab komuniti pertanian bandar adalah disambut baik kerana projek ini boleh membantu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gamba : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS