Jadikan pusat kuarantin sementara berisiko rendah, bantu kelangsungan industri perhotelan Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Langkah menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin sementara dapat membantu kelangsungan perkhidmatan industri perhotelan di negeri ini agar dapat terus bertahan.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, idea tersebut sebenarnya memberikan keuntungan kepada kerajaan, masyarakat dan juga industri perhotelan yang terjejas teruk dek penularan wabak COVID-19 kini.

Langkah tersebut sekali gus jelasnya, dapat membantu meredakan kesesakan di pusat pengasingan sedia ada.

“Dengan kadar jangkitan di Malaysia yang telah meningkat secara drastik iaitu melebihi 7,000 kes sehari, sudah pastinya pusat kuarantin sedia ada semakin sesak.

“Kedua, Langkah ini juga akan memberikan pilihan tambahan kepada rakyat untuk memilih jenis pusat kuarantin yang mereka inginkan, di mana bagi mereka yang berkemampuan daripada segi kewangan dan lebih memilih privasi juga boleh memilih untuk tinggal di hotel (pusat kuarantin sementara) ini.

“(Dan) sudah pastinya ia dilaksanakan demi memastikan kelangsungan industri perhotelan di dalam tempoh di mana aktiviti perjalanan dihentikan,” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini baru-baru ini.

Sehingga hari ini, difahamkan sebanyak 10 hotel di seluruh Pulau Pinang telah bersetuju dan membuat permohonan kepada Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk tujuan berkenaan.

Menurut Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, pejabatnya (PETACE) sejak 20 Mei lalu telah menyerahkan senarai hotel yang berminat untuk dijadikan sebagai pusat pengasingan atau kuarantin berisiko rendah kepada JKNPP.

“(Senarai) ini termasuk senarai yang diberikan oleh Malaysian Association of Hotels (Penang Chapter) dan Malaysia Budget Hotel Association (MyBHA) Penang.

“JKNPP akan menjalankan langkah seterusnya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Justeru, saya juga menyeru para pengusaha hotel di negeri ini untuk mempertimbangkan langkah ini untuk menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin berisiko rendha untuk sementara waktu,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF