Jadikan sambutan Pesta Ponggal sebagai platform erat perpaduan

BUKIT TENGAH – Sambutan Pesta Ponggal yang diraikan oleh penganut agama Hindu saban tahun wajar dilihat secara positif sebagai platform untuk mengeratkan perpaduan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa ia secara tidak langsung dapat memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain sekali gus merapatkan hubungan dan keharmonian kaum di negeri ini.

“Hari ini, sambutan Pesta Ponggal yang diraikan bukan sahaja untuk masyarakat India, tetapi turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai kaum yang turut serta meraikan sambutan tradisi ini.

“Inilah keunikan dan kekuatan negeri kita yang mana perbezaan ini diraikan dan menjadi kebanggaan kita semua.

“Kepelbagaian dari segi budaya dan agama diraikan untuk membolehkan kita saling mengenali budaya yang ada, sekali gus menjadikan sambutan ini menjadi lebih bermakna,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Pesta Ponggal anjuran Pejabat Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah dan kuil-kuil di kawasan berkaitan di sini sebentar tadi.

 

 

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung serta wakil-wakil kuil yang mengambil bahagian.

Antara kuil yang mengambil bahagian ialah Kuil Ayya Juru; Kuil Sri Mangalanayagi Amman, Bukit Tengah; Kuil Sri Maha Mariamman, Kampung Dock; Kuil Sree Maha Devi Karumariamman, Taman Mangga dan Kuil Sri Maha Mariamman, Juru.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sambutan Pesta Ponggal perlu diteruskan sebagai kesinambungan dan tradisi budaya supaya perpaduan di negeri ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Sebagaimana maksud Ponggal dalam bahasa Tamil yang bererti melimpah-ruah simbolik kepada keadaan susu lembu yang melimpah apabila dipanaskan dalam periuk tanah liat, begitu juga dengan harapan kita semua untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“(Dan) semoga dengan kehadiran bulan baru Thai ini, ia akan meningkatkan lagi iltizam kita dalam usaha memperkasa keamanan serta keharmonian bersama yang menjadi kekuatan dan panduan untuk rakyat negeri ini, selaras dengan hasrat Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” serunya.

Dalam pada itu, Hsiao-Leung menyatakan bahawa sambutan Pesta Ponggal mampu merapatkan hubungan komuniti dan membentuk perpaduan antara kaum.

“Di Pulau Pinang, kita ada pelbagai bangsa serta agama dan di KADUN Bukit Tengah, kita selalu anjurkan program bersama-sama tanpa mengira kaum, bangsa jua agama,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pengundi-pengundi di Bukit Tengah kerana memilih Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar & video : AHMAD ADIL MUHAMAD