Jafri rasmi angkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang baharu

whatsapp image 2026 08 05 at 09.34.30

GEORGE TOWN – Mantan Timbalan Ketua Pengarah (Analisa), Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil secara rasmi mengangkat sumpah jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu dalam suatu majlis di Komtar di sini pada pagi ini.

Beliau menandatangani dokumen sumpah rahsia sebelum melafazkan ikrar berkaitan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sambil diiringi Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Muhamad Husni Mahmud.

whatsapp image 2026 08 05 at 09.18.34 (1)
DR. Jafri Abdul Jalil (depan, kiri) menyerahkan dokumen sumpah rahsia yang telah ditandatangani kepada Ketua Menteri sambil diperhatikan oleh barisan Exco dan ex-officio Kerajaan Negeri.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco); Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Wan Nor Sakina Saad.

Sejurus selesai majlis mengangkat sumpah jawatan, Jafri menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri buat julung kalinya atas kapasiti sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

whatsapp image 2026 08 05 at 09.18.36
DR. Jafri Abdul Jalil (kiri) melafaz ikrar sumpah rahsia dengan diiringi Muhamad Husni Mahmud di sini, pagi ini.

Terdahulu, Kon Yeow dalam ucapan ringkasnya mengalu-alukan pelantikan Jafri sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu bagi menggantikan Dato’ Seri Zulkifli Long yang bersara wajib baru-baru ini serta berharap pelantikan tersebut menjadi pemangkin kepada kesinambungan agenda pembangunan negeri demi merealisasikan Visi Penang2030.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu memiliki Ijazah Kedoktoran Perhubungan Antarabangsa dari London School of Economics and Political Science, United Kingdom. Sepanjang kerjayanya dalam perkhidmatan awam, beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

 

Gambar : ALISSALA THIAN