PenMentor 7.0 terus perkasa usahawan wanita celik digital

penmentor 1

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi wanita menerusi pelaksanaan Program Penang Women Entrepreneurs Mentoring Programme (PenMentor) 7.0, yang disifatkan sebagai strategi pembangunan negeri bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita berdaya saing, celik digital dan mampu memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, pemerkasaan ekonomi wanita bukan sekadar agenda kebajikan, sebaliknya merupakan pelaburan strategik yang memberi impak langsung kepada kestabilan pendapatan keluarga, pewujudan peluang pekerjaan serta pengukuhan ekonomi negeri.

“Usahawan wanita tidak memerlukan layanan istimewa, sebaliknya akses yang adil kepada ilmu, jaringan, teknologi, pasaran dan peluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

“Apabila perniagaan milik wanita berkembang, kesannya melangkaui seorang individu yang mana pendapatan keluarga menjadi lebih stabil, peluang pekerjaan dapat diwujudkan, pembekal tempatan mendapat pasaran dan komuniti menjadi lebih berdaya tahan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM320,000 bagi menyokong pelaksanaan PenMentor sejak tahun 2020 sebagai pelaburan untuk memperkukuh keupayaan wanita membina perniagaan yang mampan,” ujarnya ketika merasmikan PenMentor 7.0 di sini baru-baru ini.

penmentor 3
LIM Siew Khim.

Menurut Siew Khim, sepanjang tujuh tahun pelaksanaannya, PenMentor turut menerima sumbangan melebihi RM100,000 daripada pelbagai penaja dan rakan strategik dalam bentuk kewangan, kemudahan latihan serta kursus yang memberi manfaat kepada usahawan wanita.

“Perubahan landskap perniagaan akibat perkembangan teknologi, automasi dan kecerdasan buatan (AI) menuntut usahawan wanita meningkatkan kesiapsiagaan digital bagi memastikan perniagaan kekal berdaya tahan dan kompetitif.

“Kita tidak mahu wanita hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi menjadi pencipta produk dan perkhidmatan, pemilik perniagaan, majikan serta pemimpin dalam ekonomi digital.

“Kesiapsiagaan digital bukan lagi satu pilihan tambahan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada daya tahan sesebuah perniagaan,” jelasnya.

Tambah beliau, aspirasi tersebut selaras dengan Visi Penang2030 yang menumpukan kepada pembinaan negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga, termasuk memastikan usahawan wanita memiliki keupayaan dan keyakinan memanfaatkan perubahan teknologi.

Pada majlis sama, Siew Khim turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Digital Penang, INTI International College Penang, EIA Academy, Global Edge Pharma, ProAcc System Consulting serta pelbagai pertubuhan wanita yang terus menyokong kejayaan program berkenaan.

penmentor 4
ONG Bee Leng.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng berkata, PenMentor telah memberi manfaat kepada 435 peserta sejak diperkenalkan dengan purata peningkatan pendapatan sehingga 30 peratus.

Jelasnya, PenMentor 7.0 yang berlangsung dari Ogos hingga Oktober 2026 merangkumi kursus komprehensif keusahawanan, sesi pementoran, pembangunan jaringan dan bimbingan dalam kumpulan kecil dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.

Beliau berkata, kandungan program turut diperkukuh dengan penekanan terhadap pemasaran, pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia, kelestarian perniagaan serta penggunaan AI secara praktikal dan bertanggungjawab.

“PenMentor bukan sekadar program untuk hadir dan mencatat nota, tetapi platform yang membantu peserta mencuba, mengukur, menambah baik dan mengembangkan perniagaan mereka melalui tindakan sebenar,” katanya.

penmentor 2
SEBAHAGIAN peserta PenMentor 7.0 yang hadir.
Gambar: PWDC