Jaga segala kemudahan termasuk CCTV & kebersihan – Exco

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Flat Jalan Kedah pernah dinobat sebagai flat kos rendah pertama dalam negeri dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV), kini sejumlah 32 unit CCTV secara keseluruhan dipasang sekitar kawasan berkaitan hasil inisiatif berterusan Kerajaan Negeri demi keselamatan para penduduk di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang mengadakan lawatan ke flat berkenaan baru-baru ini berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM18,000 bagi pemasangan 20 unit CCTV pada awal Disember lalu.

“Pemasangan sistem pemantauan 24 jam ini ditumpukan di lokasi-lokasi dikenalpasti pihak polis sebagai berisiko tinggi, sama ada bagi membendung gejala jenayah mahupun membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam aspek vandalism,” katanya kepada pihak media di sini baru-baru ini.

Tambah Kon Yeow, selain CCTV, masing-masing tiga unit tong sampah dan lampu jalan juga telah disumbangkan bagi kemudahan penduduk flat berkenaan.

“Saya berharap agar penduduk dapat menjaga segala kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri demi kepentingan bersama dan membantu PBT untuk menjaga kebersihan serta keindahan Flat Jalan Kedah ini.

“Ayuh! sama-sama jadikan Flat Jalan Kedah sebagai contoh kepada semua dari segi kebersihan, keselamatan dan keindahan persekitaran,” seru beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Persatuan Penduduk Flat Jalan Kedah, Teh Chai Hock menyatakan bahawa sejak pemasangan CCTV pada 2005, beberapa kejadian jenayah dan pecah rumah dapat dibendung. Begitu juga mengenalpasti penduduk yang mempunyai tabiat membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.

“Ternyata pemasangan CCTV dapat membantu MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) dan pihak polis memantau kawasan sekitar flat ini,” ujarnya yang turut berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri.

Flat Jalan Kedah mempunyai 320 unit rumah kos rendah dengan 25 lot kedai di bawah kelolaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Pada tahun 2012, flat berkenaan telah dicat semula di bawah Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang, HAPPY! dengan jumlah peruntukan RM393,660.

Daripada jumlah tersebut, RM328,050 (80 peratus) ditanggung PDC, manakala baki 20 peratus atau RM65,610 adalah daripada penduduk (RM35,610) dan peruntukan Kon Yeow sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota (RM30,000).