Taman Sungai Duri Permai terbersih di Seberang Perai

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI – Taman Sungai Duri Permai di sini dipilih sebagai taman terbersih dalam Pertandingan Taman Bersih 2014 anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini.

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman berkata, pencapaian itu sekaligus bakal mengubah tanggapan awam kononnya komuniti Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) seakan ketinggalan daripada arus pembangunan negeri.

“Kejayaan ini kerana kerjasama yang kuat dalam komuniti sekarang iaitu dengan komitmen yang tidak berbelahbahagi daripada MPSP sendiri.

“Sekarang…Sungai Duri Permai dari Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sudah menjadi juara mendahului kawasan-kawasan parlimen lain (di Seberang Perai),” ujarnya yang juga Pengarah YIPP dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Taman Bersih 2014 di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, tiga Ahli Majlis MPSP, Zulkifli Ibrahim, Loh Joo Huat dan H’ng Mooi Lye serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Anuar Abd. Hamid, Ir. Rosnani Mahmod (Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MPSP) dan wakil Surau Taman Sungai Duri Permai.

Sebelum itu, Maimunah memberitahu, pertandingan buat julung kali diadakan itu disertai tujuh taman mewakili semua parlimen sekitar Seberang Perai.

Menurut beliau, taman yang dimaksudkan adalah Taman Bertam Putra dekat Seksyen 5 mewakili Parlimen Kepala Batas, Taman Desa Murni Fasa Empat (Tasek Gelugor), Taman Riang (Bagan), Taman Mengkuang Indah (Permatang Pauh), Taman Jernih (Bukit Mertajam), Taman Bukit Minyak Indah (Batu Kawan) dan Taman Sungai Duri Permai (Nibong Tebal).

“(Penganjuran pertandingan) kita bermula daripada kecil, tetapi sasaran kita sangat besar, seperti Pertandingan Sekolah Hijau disertai 35 sekolah sahaja semasa mula dianjurkan dan kini sudah disertai 105 sekolah rendah dan menengah,” jelas beliau.

Maimunah memberitahu, pertandingan tersebut ke arah sasaran MPSP meminimumkan kekerapan kutipan sisa pepejal di kawasan kediaman pada dua kali seminggu seperti di kebanyakan bandar pintar peringkat dunia.

Dalam perkembangan lain, Maimunah turut mengulas mengenai komitmen Kerajaan Negeri mempertimbang cadangan mewujudkan satu undang-undang kecil berupa enakmen susulan syor Kerajaan Pusat untuk melaksanakan pemisahan berwajib sisa pepejal secara berperingkat
mulai bulan September tahun depan.

“Kita di Pulau Pinang sejak tahun lepas lagi sudah menjurus ke arah itu, tetapi pengasingan berwajib sisa pepejal ini memang boleh buat dengan kerjasama penduduk,” seru Maimunah.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sungai Duri Permai, Mohamad Amir Osman, 36, berkata, jawatankuasanya akan berbincang mengenai cabaran dinyatakan Maimunah untuk memungut sisa pepajal dua kali seminggu sahaja di sini.

“Memang komuniti ini sejak taman ini diwujudkan (tahun 2012), aspek kebersihan diutamakan secara bersama… kita cubalah sahut cabaran YDP MPSP itu,” jelas beliau.