Jagdeep puji inisiatif MBSP lancar aplikasi pintar ‘Aspire Seberang Perai’

Admin
PERASMIAN acara pelancaran ‘Aspire Seberang Perai’ dilangsungkan di Menara Bandaraya MBSP di sini pada pagi tadi.

SEBERANG JAYA – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap inisiatif terbaru Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan aplikasi pintar menerusi telefon dikenali sebagai ‘Aspire Seberang Perai’ akan mempercepatkan lagi hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mencapai status negeri pintar.

“Kita (Pulau Pinang) merupakan negeri yang paling banyak mempunyai inisiatif pintar di seluruh negara, walaupun sebuah negeri yang kecil.

“Kita ada satu sasaran untuk mewujudkan 100 inisiatif pintar di Pulau Pinang pada bulan Jun ini (tetapi sekarang) kita (MBSP) sudah capai 102 inisiatif pintar setakat ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dalam Majlis Pelancaran Aplikasi Pintar ‘Aspire Seberang Perai’ MBSP di Menara Bandaraya di sini pada 24 Mei 2022.

JAGDEEP Singh Deo

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tetuan Pro Office Solution Sdn. Bhd. yang menjadi rakan strategik kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dalam penganjuran aplikasi pintar tersebut.

Sebelum pada itu, Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad memberitahu bahawa pentadbirannya pada 6 Jun 2021 telah menubuhkan satu badan bertindak bagi memikirkan satu kaedah yang sesuai untuk kekal berhubung dengan rakyat serta memperoleh hasil secara konsisten.

AZHAR Arshad

Menurutnya lagi, lima pegawai yang menganggotai badan bertindak tersebut adalah Mohamad Nizam Md. Shariff (Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perbendaharaan selaku Pengerusi ‘Task Force’), Saiful Azri Salleh (Penolong Pengarah Kanan Direktorat Penguatkuasaan), Noor Rafidah Md. Isa (Penolong Pengarah Kanan Jabatan Teknologi Informasi dan Komunikasi), Muhammad Hilmi Ahmad Fauzi (Penolong Pengarah Jabatan Pelesenan), dan Aida Ishak (Penolong Akauntan Kanan Jabatan Perbendaharaan).

“Badan bertindak ini ditubuhkan untuk mengenal pasti, mengkaji serta mengemukakan penyelesaian serta inisiatif bagi tujuan peningkatan (mutu) pengurusan kutipan hasil, di samping implementasi inisiatif tanpa tunai secara pintar kepada jabatan dalaman (MBSP) khususnya,” jelasnya.

Difahamkan, antara komponen yang terdapat pada ‘Aspire Seberang Perai’ (fasa 1) adalah:

a. Dilengkapi dengan gerbang pembayaran atas talian;

b. Paparan ‘personal dashboard’ pengguna serta sejarah transaksi;

c. Sistem ganjaran (reward) kepada pengguna yang membuat transaksi pembayaran melalui ‘Aspire Seberang Perai’ sama ada berbentuk cabutan bertuah, kupon baucar atau pengumpulan mata ganjaran;

d. Diintegrasikan dengan sistem dalaman MBSP secara terkini;

e. Paparan Informasi Eksplorasi Seberang Perai seperti lokasi tempat menarik, tempat makan, sejarah dan sebagainya;

f. Sistem robot untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan MBSP mengikut fasa;

g. Paparan pelbagai pengumuman, promosi dan ruangan iklan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS