Jalan Berkembar Bukit Kukus – Paya Terubong capai 30 peratus siap

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PAYA TERUBONG – Projek Jalan Berkembar Bukit Kukus – Paya Terubong menghubungkan Lebuhraya Thean Teik ke Lebuh Bukit Jambul yang bernilai RM545 juta kini telah lebih 30 peratus siap.

Laluan sepanjang 8.1 kilometer (km) tersebut dibahagikan kepada tiga konsesi iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), syarikat Geo Valley Sdn. Bhd. Development dan syarikat PLB Land Sdn. Bhd. Development.

Menurut Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Muhammad Bakhtiar Wan Chik, untuk segmen MBPP, ianya telah siap sebanyak 52.4 peratus.

“Jika mengikut jadual (bagi MBPP), sepatutnya kemajuan projek sekarang adalah 50.92 peratus, namun MBPP mendahului jadual sebanyak enam hari bersamaan 52.4 peratus.

“Projek ini juga akan menghubungkan persimpangan Jalan Tun Sardon (ke Balik Pulau) dan Jalan Paya Terubong dengan jalan bertingkat yang dinamakan Tun Sardon Link.

“Malah, ia (projek ini) turut direka menggunakan tiang setinggi 50 meter (m) bagi mengurangkan impak alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak di sini baru-baru ini.

Difahamkan, ketinggian tiang bagi projek berkaitan merupakan antara kelima tertinggi dalam negara, dan tertinggi di Pulau Pinang.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP, Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP, Ir. A. Rajendran dan Jurutera bagi Jurutera Perunding GEA (Malaysia) Sdn. Bhd., Amir Saiful Haris Abdullah.

Jelas Saiful Haris, projek yang dimulakan pada Januari 2016 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2019.