Aktiviti mendaki bantu bina keyakinan diri

GEORGE TOWN – Memilih aktiviti yang mendekatkan diri dengan alam sekitar, Konvenor Pasukan Sukan Lasak MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang), Shalehudin Hashim, 55, mengakui bahawa inisiatif tersebut membantu ahli pasukannya membina keyakinan diri.

Mahu mencari suasana berbeza berbanding tugasan harian sebagai penjawat awam, Shalehudin berkata, aktiviti kecergasan tersebut adalah seiring dengan polisi hijau dan sihat yang dilaungkan Kerajaan Negeri.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat menerapkan sikap dan pembudayaan hijau dalam kalangan peserta pendakian, malah turut diterjemahkan melalui tema pendakian iaitu Go Green.

“Sepanjang pendakian, kami akan memastikan tiada sampah plastik atau sisa makanan dan minuman ditinggalkan,” katanya dalam kenyataan kepada Buletin Mutiara di sini baru -baru ini.

Penganjuran kali kedua tersebut mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai peringkat jabatan dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan, yang mana seramai 55 pendaki mengambil bahagian.

Difahamkan pendakian Gunung Baling pada 9 September lalu mengambil masa lebih dua jam untuk sampai ke puncak disebabkan faktor cuaca, namun menurut Shalehudin perkara tersebut tidak melunturkan semangat mereka.

“Peserta dengan kecekalan hati dan semangat waja yang tinggi dapat meneruskan pendakian hingga ke puncak.

“Selagi ada kemahuan untuk berusaha di situ ada kejayaan yang menunggu, cuma cepat dan lambat sahaja.

“Alhamdulillah, semua peserta berjaya sampai ke puncak walaupun agak lambat, tetapi kami bergerak sebagai satu pasukan yang saling membantu antara satu sama lain,” jelas beliau.