Jalan Burmah, lokasi pertama projek perintis penambahbaikan KLJ 1959, garisan zig-zag diperkenal tingkat keselamatan jalan raya – Exco

Admin

PULAU TIKUS – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) komited melaksanakan projek perintis bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata, projek perintis berkenaan adalah usaha ke arah penambahbaikan Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 (KLJ 1959).

Jelasnya, KLJ 1959 sudah lama tidak dikemaskini dan keperluan untuk mengkaji semula adalah perlu demi menambah baik prasarana lintasan pejalan kaki agar menjadi lebih selamat.

“Sebagai langkah pertama, projek perintis ini akan mengkaji penggunaan garisan zig-zag seperti mana di negara lain (garisan zig-zag) ia berjaya mengurangkan kelajuan kenderaan, meningkatkan pematuhan had laju oleh pemandu serta meningkatkan kesedaran pemandu terhadap lintasan pejalan kaki di hadapan.

“Kajian ini akan berlangsung selama sebulan dan hasil kajian tersebut akan diketahui pada Disember nanti, di mana pihak MIROS akan membantu untuk memantau dan mengumpul data berkaitan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita berharap projek perintis ini akan menjadi pemangkin dalam menjadikan lintasan pejalan kaki serta jalan raya di Malaysia lebih selamat untuk semua,” ujarnya pada sidang media pengumuman projek berkenaan dekat sini semalam.

Difahamkan, amalan-amalan terbaik seperti garisan zig-zag tersebut turut diadaptasikan oleh negara-negara yang mempunyai sistem jalan raya yang serupa seperti Singapura, Hong Kong dan United Kingdom.

Hadir sama Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Connie Tan Hooi Peng; Zainuddin Mohd. Shariff (Jurutera Kanan Lalulintas & Pengangkutan Awam MBPP); T. Thurkah (Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, JKJR Pulau Pinang) dan wakil pihak MIROS.

Lintasan di hadapan bangunan Malaysian Buddhist Association di Jalan Burmah telah dipilih sebagai lokasi bagi melaksanakan projek perintis berkaitan.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga memberitahu bahawa, rentetan beberapa kes kemalangan maut yang berlaku di lintasan pejalan kaki di negeri ini beberapa tahun lalu, pihak MBPP juga telah meningkatkan beberapa kaedah lalu lintas bagi membendung perkara sama tidak berulang lagi.

“Antara usaha yang Majlis telah laksanakan adalah memperkenalkan amaran ‘LOOK LEFT/LOOK RIGHT’, memperkenalakan amaran ‘AWAS’ di lintasan pejalan kaki terkawal, mengecat semula speed table dan garisan pejalan kaki mengikut spesifikasi yang betul serta mengecat semula lintasan pejalan kaki terkawal dan tidak terkawal mengikut warna yang betul.

“Walaupun beberapa langkah di atas telah diambil, namun didapati bahawa kesedaran awam mengenai prasarana lintasan kaki adalah rendah, ramai sebenarnya yang masih tidak tahu tentang perbezaan jenis-jenis lintasan pejalan kaki yang ada.

“Kekurangan kesedaran mengenai perbezaan di antara lintasan terkawal dan lintasan tidak terkawal bukan sahaja di kalangan orang ramai, bahkan pihak-pihak berkuasa jalan.

“Berdasarkan semakan di Daerah Timur Laur (DTL) pada awal tahun ini mendapati bahawa terdapat lintasan jalan yang tidak mengikuti spesifikasi teknikal yang sepatutnya, termasuk warna garisan, lebar garisan dan papan tanda amaran.

“Malah, terdapat kawasan di mana dua lintasan pada jalan yang sama menggunakan spesifikasi yang berlainan, justeru itu MBPP telah diarahkan untuk menyelaraskan lintasan-lintasan di bawah seliaan mereka dan tindakan penambahbaikan sedang dilaksanakan di jalan-jalan yang telah dikenal pasti,” ujarnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD