Seni adalah milik semua, Balai Seni Lukis janji pengalaman unik

Admin

BALAI Seni Lukis Negeri Pulau Pinang (BSLNPP) yang terletak di Aras Bawah, Dewan Sri Pinang merupakan satu lagi produk pelancongan Pulau Pinang yang menjanjikan pengalaman tersendiri buat pengunjung.

Ditubuhkan pada tahun 1964, BSLNPP pada awalnya dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kuasa-kuasa yang diperuntukan di bawah Enakmen Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, 1972.

Selain itu, BSLNPP berfungsi mengumpul, mengkaji, memelihara dan mempamerkan khazanah warisan negeri serta budaya dengan menggalakkan pameran-pemeran berbentuk pendidikan selain melakukan kerja-kerja konservasi asas pada lukisan-lukisan tetap sepanjang tahun.

Sebahagian karya yang dipamerkan.

Keunikan

Menurut Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin, sebanyak 1,400 karya dengan ciri-ciri keunikan tersendiri dipamerkan di galeri berkenaan sejak 1965 hingga Ogos lalu.

“Karya-karya yang dipamerkan ini terdiri daripada lukisan cat air, lukisan cat minyak, akrilik, arca, tekstil, seramik, instalasi, fotografi, media campuran, video dan bahan- bahan lain.

“Keutamaan dalam pemilihan karya diberikan kepada para pelukis kelahiran Pulau Pinang, seterusnya pelukis-pelukis tempatan yang aktif di persada seni, pelukis-pelukis Asia dan antarabangsa yang pernah mengadakan pameran di sini,” katanya semasa mengadakan wawancara khas bersama-sama wartawan Buletin Mutiara baru-baru ini.

Turut sama, Pengerusi BSLNPP, Lee Khai dan Kurator Kurator Muzium & BSLNPP, Haryany Mohamad.

Lee Khai

Jelas Soon Hin, BSLNPP bukan sekadar mempamerkan lukisan-lukisan terkini, malah pengunjung juga boleh menghayati koleksi-koleksi karya tetap BSLNPP seawal tahun 1800 antaranya Historical Paintings oleh Kapten Robert Smith dan William Daniel.

“Selain itu, terdapat juga karya-karya yang dihasilkan oleh pelukis perintis Pulau Pinang seperti Datuk Chuah Thean Teng, Yong Mun Seng, Datuk Hoessein Enas, Abdullah Ariff, Datuk Tay Hooi Keat Khaw Sia dan ramai lagi.

“Karya-karya kontemporari negara bertaraf dunia juga turut dipamerkan di galeri seni ini termasuk karya oleh Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk ‘Syarifah Fatimah Zubir, Dr. Chew Teng Beng, Dr. Joly Koh dan Khoo Sui Hoe.

“Malah, kita juga ada lukisan ‘Monalisa Malaysia’ yang turut menarik perhatian saya,” ujar beliau yang turut menyatakan bahan-bahan pameran yang dipamerkan adalah tidak statik sebaliknya berubah mengikut kesesuaian serta tema dari semasa ke semasa.

Tambah Soon Hin, serentak itu, pengunjung juga berpeluang melihat pameran-pameran terkini anjuran BSLNPP yang diadakan secara berskala termasuk pameran kolaborasi bersama institut dan organisasi antarabangsa.

Bongkah pokok durian pelbagai saiz dijadikan salah satu karya seni untuk dipamerkan.

“Japan Foundation Kuala Lumpur, Alliance Francaise, Thailand serta negara-negara Asia dan Eropah antara institut Asia dan antarabangsa yang pernah mengadakan pameran mereka di sini,” ulasnya.

Malah, Lee Khai memberitahu bahawa kepada mana-mana artis atau pihak yang ingin menyumbang atau berminat untuk membeli produk-produk seni adalah amat digalakkan dan boleh menghubungi BSLNPP.

“Kami amat berbesar hati sekiranya terdapat pihak yang berbuat demikian yang mana selain menambah rakan- rakan dalam industri sedia ada, ia juga mampu menambah  koleksi sedia ada di sini dan secara tidak langsung memartabatkan artis-artis tempatan khususnya Pulau Pinang,’’ jelasnya.

Cabaran

Menyentuh aspek cabaran yang terpaksa didepani dalam membangun serta memperkenalkan BSLNPP ke peringkat lebih tinggi, Soon Hin menjelaskan bahawa aspek peruntukan masih lagi menjadi perkara yang perlu diatasi.

Menurutnya, pada masa ini, BSLNPP dan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang menerima peruntukan daripada kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan berjumlah RM3 juta setahun bagi menjalankan seluruh operasi termasuk bayaran gaji pekerja, utiliti, selenggaraan dan pelbagai lagi.

Koleksi karya tetap seawal tahun 1800 oleh Kapten Robert Smith dan William Daniel.

“Daripada jumlah itu, BSLNPP memperuntukkan jumlah RM250,000 bagi kos untuk menjalankan pelbagai penganjuran pameran, aktiviti dan program berkaitan seni visual seperti bengkel lukisan, seminar, lawatan berpandu untuk para pelajar sekolah serta lain-lain,’’ ujar beliau.

Selain itu, menurut Soon Hin, BLSNPP juga turut berdepan masalah segi ruangan pameran yang agak terhad iaitu hanya 10,000 kaki persegi.

“Justeru, kita amat menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Penang Art District (PAD) dekat Lembah Macallum yang mampu menjadi platform terbesar untuk mengembangkan seni di negeri ini,” katanya.

Selain dua aspek tersebut, Soon Hin menyatakan bahawa cabaran lain yang terpaksa dihadapi adalah untuk mendidik masyarakat di negara ini khasnya di Pulau Pinang supaya menghargai serta mencintai seni yang merupakan salah satu bidang penting terutamanya kepada pelancongan.

“Kita lihat masyarakat di negara ini masih lagi kurang menghargai seni berbanding di negara-negara maju.

“Justeru, kita mengadakan pelbagai program di peringkat sekolah rendah dan menengah khasnya Bintang Kecil untuk mendedahkan mereka kepada bidang seni daripada usia muda.

“Selain itu, kita juga mengedarkan buku-buku terbitan BSLNPP kepada sekolah rendah sehingga ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negeri.

“Dan, memandangkan masih ramai yang belum mengetahui tentang galeri seni ini, maka kita telah menjalankan pelbagai promosi melalui dalam talian seperti media sosial termasuk laman web, Facebook, Instagram dan aplikasi.

 

“Di samping itu, kita juga mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang berperanan mempromosikan produk pelancongan Pulau Pinang seperti Penang Global Tourism (PGT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta lain-lain,” jelasnya yang mula berjinak serta meminati bidang seni yang sebelum ini adalah amat asing kepada dirinya.

Mengulas lanjut, bagi Soon Hin, industri seni merupakan sebuah bidang yang sangat luas dan mampu dikembang serta dijadikan satu produk pelancongan yang amat berharga.

Pengunjung juga boleh mendapatkan buku-buku tokoh seni terkemuka di BSLNPP.

“Sejak kecil, saya memang tidak mempunyai bakat semulajadi untuk melukis dengan cantik, malah, minat di dalam bidang seni juga bukannya mendalam sangat.

“Kini, apabila memegang jawatan sebagai Exco bertanggungjawab, ia memaksa saya untuk mendalami bidang ini.

Saya merasakan bahawa seni adalah sesuatu yang tenang, relaks dan unik… amat sukar digambarkan melalui kata-kata. Pokoknya, seni boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,’’ kongsinya yang merupakan graduan dalam jurusan undang-undang.

Dalam pada itu, Lee Khai melihat pendedahan awal sebagai cabaran utama dalam menyemai minat terhadap seni di kalangan rakyat negara ini.

“Sekolah merupakan institusi yang penting. Para pelajar lazimnya perlu didedahkan pada peringkat awal dan dengan itu sebuah masyarakat yang menghargai seni boleh diwujudkan.

“Ini kerana, bagi saya, seni adalah milik semua terutamanya rakyat Pulau Pinang. Seni memainkan peranan penting dalam pencapaian pembangunan generasi masa depan terutamanya untuk muncul sebagai salah satu cabang ekonomi penting kelak,’’ katanya yang merupakan peguam sepenuh masa.

Rancangan masa depan

Bagi perancangan masa depan, Soon Hin yakin dengan segala usaha yang dijalankan, BSLNPP mampu menjadi platform penting dalam membantu menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke negeri ini.

Antara produk yang dijual di kedai cenderamata BSLNPP.

 

Ulasnya, untuk menjadikan BSLNPP sentiasa relevan, pihaknya kini aktif mengelola program dan aktiviti berbentuk bicara seni, ceramah bengkel, seni persembahan artistik dan sebagainya sama ada di premis atau luar premis.

“Oleh itu, kita mengadakan sekurang-kurangnya 10 pameran dalam setahun yang merangkumi pameran solo, berkumpulan, persatuan, kolaborasi bersama institut dan organisasi antarabangsa,” ujar beliau.

Menjelaskan usaha terbaru dijalankan, Soon Hin memberitahu bahawa BSLNPP kini telah dilengkapi dengan sebuah kedai cenderamata yang diilhamkan oleh beliau sendiri.

“Gift shop (kedai cenderamata) ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang mana produk- produk yang dijual di sini menggunakan logo baharu BSLNPP di samping barangan keluaran khas semasa pameran- pameran dianjurkan seperti pameran Zunar dan Retrospektif yang diadakan baru-baru ini.

“Oleh itu, bagi pengunjung yang datang ke sini, mereka bukan hanya berpeluang melawat pameran, tetapi juga boleh membawa pulang cenderahati eksklusif sebagai tanda ingatan seperti beg, t-shirt, buku- buku terbitan dan banyak lagi.

“Karya-karya lukisan dalam koleksi tetap juga dicetak dan turut dijual dalam saiz poskad,” jelasnya yang menjadi pelanggan pertama kedai cenderamata BSLNPP.

Sebagi Exco bertanggungjawab, Yeoh Soon Hin berjaya membawa dimensi baru dalam sektor pelancongan negeri.

Tambah Soon Hin, masih banyak usaha dirancang untuk memperkenalkan BSLNPP di peringkat antarabangsa termasuk memperkasakan koleksi tetap, meneliti kualiti pameran-pameran yang dijalankan melalui penjurian dan karya-karya dalam koleksi tetap dipamerkan secara bergilir-gilir bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat keseluruhan koleksi yang ada.

“Kita juga merancang untuk menaikkan hadiah bagi Pertandingan Penang Art Open (PAO) yang diadakan setiap tahun bagi menggalakkan penyertaan pelukis-pelukis muda. Malah, kita juga ada program Friends of Penang State Art Gallery yang tidak kurang aktifnya,” ujar beliau.

Mengakhiri bicara, Soon Hin Hin berkata, beliau berharap agar segala usaha yang dijalankan BSLNPP dapat membantu meningkatkan pembangunan seni di negeri ini untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

Difahamkan, BSLNPP dibuka pada setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum, dan masuk adalah secara percuma.

Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang terletak di Aras Bawah, Dewan Sri Pinang 10200 Lebuh Light, George Town.

Jom, jangan lepaskan peluang menerokainya!

Oleh : SUNARTI YUSOFF & YAP LEE YING

Gambar : ALISSALA THIAN