Jalan Kapitan Keling dibina semula

Admin

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) menunjukkan batu cobalt di Jalan Kapitan Keling di sini.
CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) menunjukkan batu cobalt di Jalan Kapitan Keling di sini.

 

GEORGE TOWN – Pitt Street atau lebih dikenali sebagai Jalan Kapitan Keling bagi warga Pulau Pinang, bakal berwajah baru apabila Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Lalulintas, Chow Kon Yeow mengumumkan keputusan pembinaan semula permukaan jalan tersebut baru-baru ini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri memutuskan untuk meratakan permukaan Jalan Kapitan Keling berdasarkan keputusan tinjauan mendapati bahawa 86.1 peratus daripada 331 responden bersetuju untuk menggantikan permukaan jalan yang tidak rata kepada laluan bertar (permukaan rata).

Permukaan jalan sebelum ini yang dibina menggunakan batu cobalt pada tahun 2006 merupakan sebahagian daripada projek mencatikkan bazar bernilai RM 6 juta oleh kerajaan terdahulu (Kerajaan Barisan Nasional).

Sejak itu, jalan sepanjang 800 meter yang merangkumi Jalan Masjid Kapitan Keling (dahulunya Jalan Pitt), Lebuh Cina dan Kampung Kolam telah menjadi bahan kritik para pengguna sehinggakan ada yang menyalahkan permukaan tersebut ekoran kejadian kerosakan dan tayar pancit pada kenderaan masing-masing. Malah, peniaga sekitar turut menyatakan rasa tidak puas hati berhubung situasi berkenaan,” katanya di sini baru-baru ini.

Tambah Kon Yeow, kerja-kerja pembinaan semula jalan bakal membabitkan kos melebihi RM100,000 dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan. Batu-batu cobalt berkenaan tidak akan dibuang sebaliknya akan digunakan untuk tujuan lanskap Taman Belia,” jelasnya.