MPSP pergiat LA21 kempen keselamatan jalan raya

Admin

 

SEBERANG PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kini giat menjalankan kempen keselamatan jalan raya di bawah Jawatankuasa LA21 yang ditubuhkan pada tahun lepas.

Kempen ini di bawah tanggungjawab Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan kerjasama Continental Automative Component Sdn. Bhd., syarikat yang telah memberi peruntukan kepada LA21 sebanyak RM50 ribu sejak tahun lepas.

Tahun lalu, kempen ini dijalankan dengan bantuan JKJR, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan diadakan di tempat-tempat tumpuan awam seperti stesen minyak, lebuhraya dan tepi-tepi jalan. Setiap motosikal disemak bagi memastikan penunggang mematuhi peraturan, memberi pelekat serta ves keselamatan.

Kini, kempen keselamatan tersebut dikembangkan ke sekolah-sekolah rendah dan menengah di seluruh Pulau Pinang secara berperingkat.

Pelbagai seminar diadakan kepada semua pemegang lesen di peringkat sekolah menengah. Manakala di sekolah rendah, penekanan diberi terhadap skop kerja PDRM, peraturan lalulintas, ceramah, kuiz serta ujian berkaitan lalulintas.

Menurut Ahli Majlis MPSP merangkap Pengerusi LA21, Soon Lip Chee, golongan pelajar di sini digalakkan untuk menyertai kempen yang dianjurkan oleh MPSP ini bagi memupuk kefahaman terhadap peraturan jalan raya dan lalulintas sedia ada yang telah ditetapkan.