Jambatan baharu Tanjung Berembang bukan ‘projek gajah putih’ – ADUN Jawi

Admin
JASON H'ng Mooi Lye (duduk) menunjukkan keadaan mendapan tanah pada jalan raya yang bersambung dengan struktur jambatan baharu Tanjung Berembang di sini pada pagi tadi.

JAWI – Projek pemajuan jambatan baharu Kampung Tanjung Berembang di sini dengan kos RM25.8 juta bukanlah ‘projek gajah putih’ sebagaimana digambarkan oleh sesetengah pihak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata bahawa kerja-kerja pembinaan struktur konkrit pada bahagian mengalami mendapat tanah kira-kira 9 inci yang berlaku baru-baru ini akan dilaksanakan secepat mungkin bermula 15 Julai dan dijadual siap pada 14 Oktober ini.

Justeru, katanya kedua-dua jalan menghala ke jambatan tersebut akan ditutup mulai 14 Julai ini.

“Kita selalu dapat video yang diviralkan dalam media sosial mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang makan rasuah lah, beri satu projek ‘gajah putih’ lah (yang menelan belanja kira-kira) RM25.8 juta bazirkan duit rakyat lah.

“(Tuduhan) ini semua kenyataan yang tak betul oleh pihak tertentu.

“Saya berharap agar penduduk sama ada di Kampung Berembang atau di Sungai Udang yang selama ini menggunakan jambatan baharu untuk menjimatkan masa perjalanan, dapat memberi kerjasama dan tidak menceroboh kawasan pembinaan ini bagi tempoh kerja-kerja pembaikan dijalankan.

“Saya telah minta kepada pemaju berwajib supaya buat binaan konkrit agar mendapan tanah tidak berlaku lagi selepas ini,” jelasnya kepada pemberita, selepas meninjau kawasan mendapan jalan di jambatan baharu tersebut di sini pada 6 Julai 2020.

Pengurus Projek Kanan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Ir. Ismail Ishak; Jurutera Awam bagi Jabatan Kerja Raya (JKR), Siti Shatinah Ahmad; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan dan wakil perunding BHR, Osman Ayub juga turut hadir.

Sementara itu, Osman Ayub memberitahu bahawa pihaknya akan memperbaiki struktur mendapan tanah itu berdasarkan peruntukan asal RM25.8 juta yang diberikan PDC untuk projek tersebut.

“Projek ini terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian struktur jambatan dan jalan, tanah mendap yang berlaku ini adalah di bahagian jalan, bukan jambatan seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

“Di sini memang tanah lembut, lebih kurang 12 meter…kita akan membina tapak kontrit sama seperti pada (struktur) bahagian jambatan (untuk elak risiko mendapan tanah),” jelasnya,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS