Tempat wuduk Masjid At-Taqwa dinaik taraf kepada berbumbung

Admin

SERI DELIMA – Jemaah Masjid At-Taqwa Taman Brown Taman Tun Sardon kini boleh berwuduk dengan selesa selepas kawasan tersebut dinaik taraf kepada berbumbung.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid memberitahu bahawa kerja-kerja menaik taraf tersebut melibatkan kos RM25,662.

 

“Saya melihat bumbung di tempat wuduk ini merupakan satu kepentingan yang utama jadi kita segera salur peruntukan untuk kerja-kerja tersebut.

 

“Bagi permohonan lain saya akan teliti lagi mengikut keperluan dan kepentingan bersama dengan Ahli Parlimen (Ramkarpal Singh),” ringkas beliau kepada Buletin Mutiara pagi ini.

 

Hadir sama, Penghulu bagi kawasan Parlimen Bukit Gelugor, Nasrizal Nasib dan Pengerusi Kariah Masjid At-Taqwa Taman Brown Taman Tun Sardon, Syed Baba Syed Peer.

 

 

Syerleena berkata, antara peruntukan lain yang akan dipertimbangkan termasuklah pemasangan pendingin hawa dan parkir berbumbung.

 

“Sempena perayaan Aidiladha yang bakal menjelang, diharapkan bumbung ini boleh bagi lebih keselesaan untuk aktiviti berkenaan kelak,” jelas Syerleena.

 

Difahamkan projek berkenaan mengambil masa selama enam minggu untuk disiapkan bermula 19 Mei lalu.

 

Dalam pada itu, Syed Baba merakamkan ucapan terima kasih kepada Syerleena kerana merealisasikan permohonan anak kariah masjid tersebut untuk menikmati suasana lebih selesa.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD