Jangan ada caj tersembunyi di sebalik fi hotel Pulau Pinang, kata responden

Admin
PENARIK beca antara sektor berkaitan yang penting untuk industri pelancongan dan perhotelan di negeri Pulau Pinang.

PERSETUJUAN bersama antara Kerajaan Negeri dan para pemegang taruh dalam sektor perhotelan untuk melaksanakan kembali fi hotel mulai 1 Julai 2022 sudah tentu menggamit pelbagai pendapat terutama dalam kalangan pelancong domestik serta pengembara antarabangsa yang sedang merancang untuk bercuti di Pulau Pinang.

Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB sejak pagi tadi membuat tinjauan lapangan berhubung isu berbangkit tersebut.

SOH Sook Hwa

Responden pertama, SOH SOOK HWA, 39, memberitahu bahawa beliau akan menghabiskan cuti melancong selama dua atau tiga hari untuk menikmati ‘durian Balik Pulau’ bersama beberapa kawannya.

Tinggal di Kuala Lumpur, pereka grafik dan penyunting itu berkata beliau percaya rata-rata pelancongan domestik dan pengembara asing mempunyai kemampuan daripada sudut kewangan bagi menyerap kenaan fi hotel.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin baru-baru ini yang berkata kadar fi hotel kekal seperti sebelum ini iaitu RM3 per bilik/malam bagi hotel empat dan lima bintang, serta RM2 per bilik/malam bagi hotel tiga bintang dan ke bawah termasuk asrama, hotel bajet dan rumah tumpangan.

“Sambil melancong ke Pulau Pinang, saya memenuhi jemputan kawan lama untuk makan durian Balik Pulau di sini.

“Untuk beberapa hari di Pulau Pinang, saya tidak menginap di mana-mana hotel atau rumah tumpangan, tetapi saya percaya mereka yang nak melancong ke Pulau Pinang ada kemampuan daripada sudut kewangan dan kadar fi hotel ini memang dalam perkiraan mereka,” jelasnya semasa dihubungi Buletin Mutiara pada 27 Jun 2022.

Pun begitu, sebagai warga kota raya Kuala Lumpur yang tiap-tiap hari terpaksa menghadapi kesesakan trafik pada waktu puncak, beliau berkata tahap kesesakan trafik di Pulau Pinang belakangan ini kian ketara.

Justeru, katanya, pihak berwajib seharusnya mencari solusi untuk menangani isu malar segar tersebut sekali gus menambahkan keunikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan serantau.

“Di Kuala Lumpur, tidak cukup dengan masalah kesesakan trafik, seringkali berlaku banjir kilat.

“Manakala, Pulau Pinang dan Melaka ada persamaan iaitu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, negeri ini mungkin semakin unik untuk dikunjungi jika tidak ada masalah kesesakan trafik yang teruk seperti Kuala Lumpur atau Melaka,” jelasnya lagi.

NADZHAM Ahmad Nazir (tengah) bersama-sama dua anaknya merakamkan gambar kenang-kenang di Upside Down Museum, George Town.

Seorang lagi responden, NADZHAM AHMAD NAZIR, 47, pula berkata beliau percaya semua pihak tidak kisah dengan hasrat pelaksanaan semua fi hotel asalkan “tiada caj tersembunyi.”

“Kalau ada fi hotel, kadar mesti tetap ikut kategori hotel yang pelancong pilih untuk bermalam, jangan ada caj tersembunyi.

“Lebih penting, dalam keadaan kos sara hidup rakyat semakin meningkat belakangan ini, jangan pula selepas fi hotel dilaksanakan, ada caj tersembunyi yang lain untuk perkhidmatan berkaitan lain yang terpaksa pelancong kena serap,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata bahawa kalau tujuan kenaan fi hotel adalah untuk memajukan industri pelancongan negeri, pihak yang berkepentingan mesti melakukan sesuatu hatta para pelancong merasai faedah di sebalik kenaan bayaran tambahan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berpendapat bahawa kenaan fi hotel itu tidak akan menjejaskan sektor perhotelan yang “dalam proses untuk bangkit semula” selepas menempuhi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dia tahun sejak Mac 2020.

“Yang saya faham fi hotel ini akan ditanggung oleh pengguna macam saya, jadi ia tidak akan membantutkan usaha para hotel untuk memperbaiki kedudukan kewangan mereka semasa fasa endemik sekarang,” jelasnya yang merupakan pelancongan domestik dari Shah Alam, Selangor.

Nazham turut memberitahu Buletin Mutiara bahawa beliau bersama-sama isteri dan dua anaknya akan menghabiskan cuti selama lima hari empat malam sehingga Khamis di salah sebuah hotel terkenal di tengah-tengah George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Melancong di Pulau Pinang memang berbaloi kerana ada pelbagai ‘muzium kreatif’ untuk saya sekeluarga menikmati pengalaman baharu,” jelasnya.

KOLEKSI gambar lama Muhammad Hilmi Zawawi sekeluarga menaiki feri iaitu pengangkutan ikonik negeri Pulau Pinang.

Bagi MUHAMMAD HILMI ZAWAWI, 30, seorang kontraktor memberitahu bahawa beliau sekeluarga tidak ada masalah mengenai cadangan pelaksanaan semula fi hotel tersebut kerana infrastruktur awam serta ‘nilai warisan ketara’ yang terdapat di Pulau Pinang ada kelainan dan tarikan tersendiri berbanding negeri-negeri lain.

“Kadar sedia ada fi itu masih sama dan berpatutan jika nak dibandingkan dengan pelbagai infrastruktur dan produk pelancongan bermusim yang terdapat di negeri ini,” jelasnya sambil mengharapkan Pulau Pinang menganjurkan pelbagai lagi festival pelancongan unik bertaraf antarabangsa bermula fasa endemik untuk disertai oleh pelancongan domestik.