Perkenal ABMS langkah persediaan JKSNPP hadapi risiko rasuah – Ketua Hakim Syarie

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) melaksanakan satu lagi usaha bagi mempraktikkan tadbir urus terbaik dalam membanteras jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa demi memberikan perkhidmatan yang cekap dan berintegriti.

Pensijilan Anti-Bribery Management Systems (ABMS) MS ISO 37001:2016 atau dikenali sebagai anti rasuah telah diluluskan oleh pihak Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) pada 16 Jun 2022 baru-baru ini.

Sijil berkaitan telah diserahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus kepada Ketua Hakim Syarie (JKSNPP), Dato’ Mohamad Abdul Karim Wahab dalam majlis yang berlangsung dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Bercakap kepada Buletin Mutiara selepas itu, Mohamad Abdul Karim turut memaklumkan bahawa sijil ABMS tersebut telah berkuat kuasa sejak 12 Mei lalu.

“Dokumen ABMS ini akan dijadikan sebagai piawaian pencegahan rasuah bagi perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang dan pada masa sama juga sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang risiko rasuah.

“Di samping itu, pelaksanaan ABMS ini juga dapat menggalakkan amalan tadbir urus organisasi yang baik serta boleh diaplikasi sebagai sebuah medium untuk melaksanakan sistem pengurusan anti-rasuah yang lebih berkesan,” jelasnya pada sesi penyerahan yang diadakan sebentar tadi.

Difahamkan, JKSNPP merupakan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri atau Mahkamah Syariah pertama di Malaysia yang telah menerima pengiktirafan dan pensijilan tersebut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR