Jangan ambil kesempatan jana keuntungan ketika negara dilanda bencana, tegas Exco

SUNGAI PUYU – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menerima sumbangan berupa 1,000 pek bekalan makanan asas bernilai RM60,000 daripada syarikat AKS Nivaas Sdn. Bhd..

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengurah Urusannya, Datuk R. Muralidaran kepada Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

AKS Nivaas Sdn. Bhd. menyumbangkan 1,000 pek bekalan makanan asas kepada Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Boon Poh berkata, Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan yang disalurkan oleh pihak-pihak swasta khasnya AKS Nivaas Sdn. Bhd. kepada golongan sasar di negeri ini.

“Di Pulau Pinang, dasar kami dalam melawan COVID-19 adalah tidak ada sempadan dan tanpa mengira parti politik kerana yang ada hanyalah sifat kemanusiaan. Inilah yang paling penting.

“Walau bagaimanapun, kita juga menerima laporan bahawa ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengagihkan bantuan makanan di tepi-tepi jalan dan menyebabkan orang awam berkumpul.

“Justeru, saya berharap agar mereka (NGO) boleh memberikan kerjasama kepada kepada Kerajaan Negeri dan pihak polis dengan menyalurkan bantuan makanan melalui Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk diagihkan ke pintu-pintu rumah penerima bagi mengelakkan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media selepas menerima sumbangan tersebut, di sini pagi tadi.

Turut hadir, ADUN Bagan Dalam, M. Satees serta Pengarah ASK Nivaas Sdn. Bhd., Datin P. Pathmini.

Mengulas lanjut, Boon Poh menegaskan bahawa terdapat juga laporan bahawa ada segelintir pihak yang bertindak mengambil kesempatan dengan membuat keuntungan dalam keadaan negara dilanda bencana.

“Kalau hendak buat keuntungan semasa bencana maka kita katakan kamu adalah ‘disaster capitalism’. Jangan kerana masyarakat sedang susah kamu buat keuntungan. Ini tidak bagus.

“Sekarang adalah masa untuk kamu memperlihatkan sifat kasih sayang dan keprihatinan kepada jiran-jiran, rakan-taulan dan seluruh masyarakat dengan tampil menyalurkan sumbangan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu memberitahu bahawa sehingga kini Kerajaan Negeri telah mengagihkan 20,000 pek bekalan makanan asas kepada penerima yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarajat (JKM), Agenda Ekonomi Saksama (AES) Negeri Pulau Pinang serta penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan kos rendah.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOF