Jangan mudah leka dan terlalu selesa, perang lawan COVID-19 belum berakhir – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Rakyat di negeri ini diminta supaya tidak mudah leka dan terlalu selesa dengan kelonggaran yang diberikan semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berusaha keras bagi memastikan Pulau Pinang kekal sifar kes jangkitan pandemik maut itu.

 

“Oleh itu, rakyat dinasihatkan supaya tidak terlalu selesa kerana kemungkinan kes ini kembali melonjak adalah tidak mustahil.

 

Kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana ada Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang perlu dipatuhi.

 

“(Dan) sekiranya tidak dipatuhi, tindakan penguatkuasaan boleh diambil,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar hari ini.

 

Mengulas mengenai peningkatan kes di Kuching, Sarawak yang kembali menjadi zon merah, Jagdeep berkata, pihaknya akan memastikan keadaan serupa tidak berlaku di Pulau Pinang.

JAGDEEP Singh Deo.

“Kerajaan Negeri tidak akan bertoleransi lagi sekiranya keadaan sedemikian berlaku di Pulau Pinang dan saya telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan di negeri ini supaya mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku ketidakpatuhan SOP yang boleh membawa kepada peningkatan kes jangkitan.

 

Saya menyeru kepada rakyat Pulau Pinang agar jangan mengambil ringan pandemik COVID-19 ini, perjuangan kita belum berakhir sehinggalah vaksin ditemui.

 

“Oleh itu, terus patuhi SOP termasuklah semasa berada di tempat-tempat awam, amalkan penjarakan sosial serta memakai pelitup muka seperti yang disarankan,” serunya.

 

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Perundangan dan Penguatkuasaan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Jagdeep turut memaklumkan laporan berhubung Ops Mega Pematuhan SOP PKPP COVID-19 yang dijalankan pada 25 dan 26 Julai 2020.

 

“Operasi ini merupakan kerjasama antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan atau individu yang melanggar SOP.

 

“Difahamkan, sebanyak 377 premis perniagaan diperiksa yang mana 113 kompaun telah dikeluarkan iaitu 26 kompaun kepada pemilik premis dan 87 lagi kepada individu dengan nilai kompaun sebanyak RM1,000 setiap satu.

 

“Tindakan penguatkuasaan ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri amat serius dan tegas akan pematuhan SOP kerana ia membabitkan hal kesihatan dan keselamatan awam,” katanya yang mengakui agak kecewa apabila terdapat premis perniagaan yang memandang enteng soal SOP.

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep memberitahu bahawa daripada 186,461 pemeriksaan yang dilakukan oleh MBPP mendapati kadar pematuhan adalah pada kadar 99.70 peratus manakala bagi kawasan Seberang Perai, daripada 413,000 pemeriksaan oleh MBSP mendapati kadar pematuhan 99.34 peratus. 

 

“Kadar pematuhan ini amat baik dan saya harap rakyat di negeri ini meneruskan usaha mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk penguatkuasaan pemakaian pelitup muka mulai 1 Ogos 2020 ini. 

 

Kedua-dua pihak berkuasa tempatan pula akan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan PDRM bagi membuat pemeriksaan secara berterusan. 

 

“(Dan) mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan SOP ,” jelasnya sambil menzahirkan penghargaan kepada Datuk Bandar MBSP dan MBPP serta pihak berkaitan yang terlibat dalam memastikan keselamatan dan kesihatan awam terjamin. 

 

Dalam masa sama, Jagdeep turut mengarahkan agar kedua-dua pihak berkuasa tempatan menyusun semula jadual tugasan supaya kakitangan berkaitan kembali ke deskripsi tugas asal di lapangan. 

 

“Lebih 5,000 kakitangan MBPP dan MBSP yang berada di lapangan yang mana sebelum ini mereka ditempatkan di pasar-pasar awam membantu dalam pelaksanaan SOP. 

 

“(Dan) dengan trend semasa kini memerlukan mereka untuk kembali kepada core business di lapangan dan perkara ini telahpun dipersetujui dalam mesyuarat pihak berkuasa tempatan baru-baru ini,” maklumnya.

(Dari kiri); IR. Addnan Mohd. Razali, Jagdeep Singh Deo dan Sr. Rozali Mohamud menunjukkan info grafik mengenai kaedah melupuskan pelitup muka pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum mengakhiri sidang media, Jagdeep mengingatkan supaya semua pihak bekerjasama dalam perang melawan COVID-19 termasuklah cara-cara melupuskan pelitup muka. 

 

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali turut serta dalam sidang media berkaitan. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : LAW SUUN TING