MBPP beri pengecualian bayaran penganjuran pasar malam selama empat bulan

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberikan pengecualian bayaran penganjuran kepada penganjur pasar malam selama empat bulan mulai April hingga Julai 2020.

Ahli Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan bagi MBPP, Wong Yuee Harng berkata, langkah pengecualian tersebut bakal melibatkan aplikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM32,960.

“Terdapat 41 pasar malam di bahagian pulau dan tempoh pengecualian yang diberikan oleh pihak Majlis adalah bagi bulan April, Mei, Jun dan Julai 2020 melibatkan kos RM8,240 sebulan,” ujarnya pada Mesyuarat Biasa Majlis Bil. 8 Tahun 2020 yang dijalankan melalui telesidang, pagi tadi.

Dalam perkembangan lain, Yuee Harng juga memberitahu bahawa MBPP turut memberikan penyecualian penyewaan petak khas dan petak sementara (pembinaan) selama dua bulan membabitkan aplikasi kewangan berjumlah RM39,200.

“Oleh kerana perniagaan tidak dapat beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perniagaan juga terjejas, pihak Majlis bersetuju untuk mengecualikan sewa bagi bulan April dan Mei 2020,” ujarnya.

Difahamkan, pada masa ini terdapat 71 tempat letak kereta khas dan 27 tempat letak kenderaan sementara (bagi pembinaan) di negeri ini.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang ketika mempengerusi mesyuarat tersebut menyeru penduduk di negeri ini agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan berlakunya gelombang kedua penularan wabak COVID-19.

“Negara kita masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan atas sebab ini, orang ramai tidak boleh terlalu selesa dan perlu sentiasa mematuhi SOP ditetapkan.

“MBPP juga bekerjasama dengan pihak polis untuk meningkatkan pengawasan dan tindakan penguatkuasaan yang mana sehingga kini, sebanyak 113 kompaun telah dikeluarkan kepada orang awam yang melanggar SOP dan tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan,” ujarnya.

Katanya lagi, arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan pematuhan SOP bukan bertujuan membebankan rakyat sebaliknya untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19 memandangkan negeri ini tidak mampu berdepan PKP sekali lagi.

“Atas sebab ini, saya berharap masyarakat dapat menjaga disiplin diri, menghargai status Pulau Pinang sebagai negeri Hijau, menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka di tempat awam dan saling mengawasi serta mematuhi SOP,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBPP