Jangan semata-mata pentingkan akademik, ibu bapa dan guru perlu dedahkan pelajar dengan aktiviti luar – Muhammad Bakhtiar

Admin

PULAU BETONG – Bukan sahaja guru dan pelajar perlu diingatkan mengenai kemahiran pendekatan STEAM (sains, teknologi, kejuruteraan, kesenian dan matematik) tetapi, ibu bapa juga perlu cakna mengenai elemen tersebut.

Seruan tersebut dibuat Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik ketika Majlis Perasmian Kelas Tuisyen Percuma di Pusat Khidmat Parlimen Balik Pulau, semalam.

Muhammad Bakhtiar berkata kesedaran itu perlu kerana sesetengah ibu bapa hanya memberi tumpuan kepada pencapaian akademik semata-mata dari segi peningkatan gred dalam mata pelajaran.

“Seseorang pelajar seharusnya enjoy untuk belajar, guru dan ibu bapa seharusnya kenalkan mereka dengan banyak dunia luar bukan di dalam bilik darjah dan rumah semata-mata.

“Biarkan pelajar ini bebas bergerak, jalankan aktiviti luar kerana ini adalah sebahagian daripada pembesaran penting seseorang kanak-kanak.

“(Pendedahan) perkara inilah yang menjadikan mereka lebih kreatif, bila mana pelajar ini banyak menjalankan aktiviti atau program luar, maka mereka akan lebih sibuk dengan aktiviti menyihatkan, sekaligus menghindarkan dari gejala-gejala negatif dan terlahirlah pelajar berkemahiran kreatif, kritis dan mempunyai sahsiah diri,” ujarnya pada majlis perasmian baru-baru ini.

Kelas Tuisyen Percuma tersebut hasil kerjasama di antara Pusat Khidmat Parlimen Balik Pulau dengan Penggerak Komuniti Muda (PEKA) untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Difahamkan, seramai 67 pelajar di sekitar parlimen berkenaan telah mendaftarkan diri masing-masingnya 20 pelajar bagi UPSR, PT3 (26) dan SPM (21).

Mengulas lanjut mengenai inisiatif itu, Muhammad Bakhtiar yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya memberitahu, tuisyen percuma berkenaan difokuskan kepada anak-anak dalam golongan isu rumah berpendapatan rendah (B40) bagi membantu pelajar-pelajar luar bandar untuk menguasai mata pelajaran sains, matematik dan Bahasa Inggeris.

“Ini merupakan mata pelajaran yang didapati pelajar-pelajar luar bandar seperti Balik Pulau ini sukar kuasai dan lemah.

“Selain itu, ibu bapa juga boleh menjimatkan perbelanjaan di antara RM200 hingga RM300 untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen berbayar kerana seperti kita sedia maklum, yuran tuisyen kini mencecah RM50 bagi satu mata pelajaran.

“Kita masih mempunyai kira 23 kekosongan, diharap para ibu bapa (B40) mengambil peluang ini mendaftarkan anak-anak mereka dengan segera,” ujarnya.

Malah, Muhammad Bakhtiar bercadang untuk memperluaskan inisiatif (kelas tuisyen percuma) berkenaan di kawasan Bayan Lepas dan Teluk Bahang.

“Terdapat permintaan untuk mengadakan tuisyen percuma ini di kawasan yang dimaklumkan, kita akan usahakan agar inisiatif ini lebih menyeluruh kepada masyarakat di kawasan Parlimen Balik Pulau,” jelasnya.