Jangan takut buat laporan kes rasuah kepada SPRM – Yusof

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

BATU UBAN – Sebanyak 39 kertas siasatan berhubung kes rasuah dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang dari awal tahun sehingga Oktober 2015.

Menurut Timbalan Pengarahnya, Yusof Shamsuddin, kertas siasatan tersebut adalah melibatkan kakitangan kerajaan, swasta dan persendirian.

“Semua 39 kertas siasatan terbabit masih lagi dalam siasatan dan bagi pihak kerajaan, ianya adalah melibatkan golongan pengurusan serta profesional.

“Selain itu, SPRM negeri ini turut menerima 204 maklumat dan berdasarkan itu, 39 kertas siasatan telah dibuka, selebihnya kita (SPRM) akan rujuk kepada jabatan dan lain-lain tindakan perlu,’’ katanya pada sidang media penganjuran Dialog Eksekutif SPRM Pulau Pinang Bersama-sama Vendor, Pelabur dan Rakan Niaga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar yang juga salah seorang seorang panel pada sesi dialog berkenaan.

Antara intipati dialog yang bertujuan memberi penerangan berhubung penguatkuasaan Akta SPRM 2009, antaranya, menyentuh mengenai langkah meningkatkan kesedaran berhubung impak rasuah kepada masyarakat khasnya dalam sektor swasta, meningkatkan kesedaran bahawa tindakan mencegah rasuah adalah tanggungjawab bersama, mewujudkan hubungan baik antara SPRM bersama-sama wakil sektor swasta dan kaedah membuat laporan berhubung keskes rasuah dan tanggungjawab dalam pencegahan rasuah.

Mengulas lanjut, Yusof yang juga salah seorang panel memberitahu bahawa pada tempoh berkaitan, seramai 27 individu telah didakwa menerima dan memberi rasuah.

“Mereka ditahan hasil dari maklumat awam. Justeru, kami (SPRM) meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada SPRM jika terdapat aktiviti rasuah yang dikesan di sekeliling.

“Ini adalah bagi membolehkan kita (SPRM) siasat, tangkap dan dakwa mereka yang terlibat dalam kes rasuah,” jelasnya.

Tambah beliau, umum tidak harus takut membuat laporan berhubung sesuatu kes rasuah kerana SPRM sentiasa menjaga identiti pengadu serta pemberi maklumat berhubung kes salah laku yang dilaporkan