Sukan SEA, Kerajaan Negeri komited perkukuh pembangunan sukan

Admin
c8c3890b cf1c 4aef a954 512186dd69e0

GEORGE TOWN – Pelaksanaan Program Program Penang Athlete, Career & Education (PACE) oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) merupakan pendekatan strategik yang bukan sahaja memfokuskan pencapaian di gelanggang, tetapi turut merangkumi pembangunan akademik, perancangan kerjaya dan kesejahteraan jangka panjang atlet.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif PACE, Skim Insentif Kemenangan Sukan (SKIMAS) Para ASEAN 2025 & Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Induk Pengelola Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa dalam konteks pencapaian semasa, inisiatif pembangunan sukan di bawah Visi Penang2030 telah menunjukkan kemajuan yang signifikan dan berimpak.

“Pencapaian ini merekodkan kemajuan 90 peratus dalam pembinaan 10 fasiliti sukan serta rekreasi baharu, yang mana ia memperlihatkan bahawa Pulau Pinang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan sukan berprestasi tinggi, tetapi turut menitikberatkan pembudayaan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat secara menyeluruh sekali gus mencerminkan momentum kukuh dalam memperkasagaya hidup aktif, inklusif dan bersepadu di Pulau Pinang.

“Serentak itu, pembangunan atlet berprestasi tinggi terus diperkukuhkan melalui pendekatan sains sukan, latihan berstruktur serta pendedahan kepada pertandingan di pelbagai peringkat.

“Hasilnya, atlet negeri terus melakar kejayaan membanggakan termasuk di pentas Para ASEAN, yang mana Kerajaan Negeri menyalurkan penghargaan menerusi program khas iaitu Skim Insentif Kemenangan Sukan (SKIMAS) Negeri,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Dato’ Seri Zulkifli Long; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua; barisan atlet dan penerima-penerima watikah.

Menurut Kon Yeow, menjelang Sukan SEA Malaysia 2027, Pulau Pinang memikul tanggungjawab besar sebagai salah satu kluster penganjur.

“Penyerahan watikah pelantikan pada hari ini adalah amanah yang perlu digalas dengan penuh komitmen, profesionalisme dan integriti.

“Kerajaan Negeri komited memastikan segala persiapan daripada penaiktarafan fasiliti sukan, kesiapsiagaan logistik, pembangunan tenaga kerja hinggalah kepada pengurusan acara bertaraf antarabangsa yang dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.

“Penganjuran ini bukan sahaja memperkukuh pembangunan sukan, malah merangsang pertumbuhan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan, hospitaliti dan industri sokongan, di samping meninggalkan legasi jangka panjang kepada rakyat,” jelasnya merangkap Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa kerjasama strategik antara kerajaan, agensi, persatuan sukan, institusi pendidikan dan sektor swasta perlu terus diperkasa.

“Dengan momentum pencapaian semasa, saya yakin Pulau Pinang berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri peneraju dalam pembangunan sukan negara bukan sahaja dari segi pencapaian, tetapi juga dalam aspek pembudayaan sukan dan pembangunan komuniti,” ulasnya lanjut.

Sementara itu, Zi Sen dalam pada itu memaklumkan seramai 121 atlet menerima insentif PACE pada kali ini.

Tambah beliau, ia merangkumi 34 penerima Insentif Tuisyen; Insentif Pendidikan Tinggi (4); Insentif Galakan Sijil Pelajaran Malaysia (26); Biasiswa Sukan (12) dan Skim Kebajikan Atlet Negeri Pulau Pinang (dua).

“Selain itu, 37 atlet dari sukan gimnastik dan dua atlet karate turut menerima insentif di bawah inisiatif Sukan Awam Pulau Pinang 2030 (SAP2030).

“Penyampaian SKIMAS adalah melibatkan dua atlet Para ASEAN iaitu Suhairi Abdul Kadir atlet boling dengan jumlah RM3,000 dan Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais atlet berbasikal (RM9,000).

“Kedua-dua atlet ini mencapai keputusan membersangkan pada Sukan Para ASEAN di Thailand tahun lepas,” jelasnya.

Oleh : WATWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN