JaPen Pulau Pinang teruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Pulau Pinang yang baharu, Naim Fahmi Tajuddin memberi komitmen bahawa pihaknya akan meneruskan kerjasama erat dengan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Perkara tersebut dimaklumkan beliau kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bersempena kunjungan rasmi ke pejabat pemimpin berkaitan di sini tadi.

Menurut Naim Fahmi, selain memperbanyakkan penganjuran program secara bersama, turut ditingkatkan adalah kerjasama pada aspek penyiaran termasuk platform media sosial.

Bagi pelaksanaan program, kata beliau, di bawah Komuniti Harapan Malaysia (KHM) yang mula dilaksanakan pada awal tahun ini di negeri Pulau Pinang, sebanyak 72 cawangan untuk fasa satu telah berjaya ditubuhkan.

“Dalam termpoh terdekat iaitu bagi bulan kemerdekaan, antara yang akan diadakan adalah Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Kibar Jalur Gemilamg dan pelbagai lagi,” ujarnya.

Hadir sama, Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Perhubungan Masyarakat JaPen, Haniezaida Hassan; Penolong Pengarah Cawangan Media Siber JaPen, Ibrahim Hashim; Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) JaPen, Nurazreen Abdul Rahman.

Kon Yeow dalam pada itu menyambut baik kerjasama berkaitan dan berharap bukan hanya penganjuran program-program dapat disatukan, malah juga pada aspek menangani isu-isu semasa melibatkan Pulau Pinang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD