Sambutan Aidilfitri diharap kukuhkan kerjasama parti komponen PH, bawa pembaharuan kepada Malaysia serta negeri

Admin
PANTAI JEREJAK – Majlis sambutan Aidilfitri yang berlangsung sepanjang Syawal ini diharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama di antara parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru seluruh keahlian parti-parti komponen di bawah PH agar terus memfokuskan tenaga terhadap kepimpinan parti serta membawa pembaharuan kepada negara Malaysia dan Pulau Pinang khususnya.
“Marilah kita memfokuskan tenaga kita dengan lebih erat untuk menangani masalah kewangan dan hutang negara, memperbaiki ekonomi, membawa kesejahteraan kepada rakyat dan mentransformasikan institusi kerajaan dengan urus tadbir yang baik supaya mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya lalu benar-benar membawa makna sepertimana dijanjikan,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang di perkarangan Tapak Pesta di sini sebentar tadi.
Hadir menyerikan majlis, Presiden PPBM merangkap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Senator Dato’ Marzuki Yahya (Timbalan Menteri Luar).
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang merangkap Pengerusi Pengelola sambutan, Zulkifli Md. Lazim.
Muhyiddin yang turut berucap turut menyuarakan nada sama dan berharap parti komponen PH serta rakyat sentiasa berkerjasama erat dan mempunyai semangat juang tinggi.
“Pulau Pinang adalah negeri di bawah PH, ia mendokong kepimpinan Ketua Menteri untuk meletakkan Pulau Pinang antara negeri maju dan berjaya di Malaysia ini.
“Kerajaan yang telah terbentuk benar-benar berjiwa rakyat dalam menjalankan amanahnya dengan jaya dan berkesan, memajukan ekonomi serta pembangunan.
“Bagi peringkat Persekutuan, ia adalah cabaran amat besar yang dihadapi sekarang ini selepas kita berjaya menumbangkan kleptokrasi Barisan Nasional (BN).
“Langkah-langkah ke hadapan untuk memulihkan ekonomi dan menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi rakyat terutamanya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) sentiasa menjadi agenda utama kita,” ujarnya.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN