Jasa 394 penjawat awam dikenang

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

VIJAYA Letchumi a/p Subramaniam (kiri sekali) bergambar kenang-kenangan bersama penerima anugerah yang lain.
VIJAYA Letchumi a/p Subramaniam (kiri sekali) bergambar kenang-kenangan bersama penerima anugerah yang lain.

GEORGE TOWN – Terasa begitu dihargai. Gembira, berbaloi dan diiktiraf.

Mungkin, itulah perasaan 394 penjawat awam yang menerima anugerah dalam pelbagai ketegori di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010, Anugerah Inovasi Sektor Awam 2010 dan Jasamu Dikenang 2011 pada 12 September lepas.

Daripada jumlah tersebut, seramai 239 telah diiktiraf sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 berdasarkan prestasi kerja yang begitu profesional memartabatkan kerajaan Pulau Pinang sebagai ‘kerajaan berjiwa rakyat’ ; seramai 132 pesara wajib dan 22 penjawat awam yang bersara secara pilihan turut diraikan pada malam tersebut.

Paling bermakna, waris kepada Allahyarham Muhamad Zambri Mansor @ Harun turut diraikan. Allahyarham meninggal dunia dalam perkhidmatan.

Bagi Vijaya Letchumi a/p Subramaniam, 35, Penolong Pegawai Tadbir (PPT) di Pejabat Tanah dan Daerah Timur Laut antara yang bertuah kerana anugerah yang diterimanya pada malam tersebut adalah kali yang kedua.

Kali pertama beliau menerima anugerah adalah pada tahun 2007, iaitu ketika beliau berkhidmat di Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Ini, suatu pengiktirafan kerajaan negeri atas sumbangan kami kepada rakyat,” ujarnya.

Seorang lagi penerima anugerah, Faziana Farook, 28, Penolong Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat SUK turut berkongsi pengalaman berkhidmat lebih empat tahun dengan kerajaan dahulu dan ‘kerajaan hari ini’ turut dikongsi.

“Sesuatu yang berbeza kerana kerja kita memerlukan komitmen yang lebih tinggi, ekspektasi kepada penjawat awam sekarang kian bertukar,” ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, penjawat awam di negeri Pulau Pinang tidak menghadapi konflik kepentingan kerana mereka diminta untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada ‘kerajaan hari ini’ sebagaimana yang diarahkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Sidek Hassan.

Dalam pada itu, Vijaya Letchumi dan Faziana juga  masing-masing mengakui bahawa pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sedikit banyaknya mengubah budaya kerja dalam pentadbiran awam di negeri bekenaan.

Bagi Faziana, yang penting penjawat awam sendiri wajar menyesuaikan diri dengan perubahan yang dibawa oleh ‘kerajaan hari ini’.

“Secara asasnya sistem pentadbiran memang hampir sama tetapi proses pengurusan pentadbiran di sini mungkin berbeza (berbanding di negeri-negeri lain)… mungkin lebih pantas lah,” ujar beliau dalam nada ketawa.

Kegembiraan yang sama turut disuarakan oleh Penolong Pegawai Tadbir (PPT) SUK, Mohd. Faizal Ismail, 32, beliau menegaskan bahawa, soal amanah dan tanggungjawab wajar diutamakan oleh penjawat awam. Soal politik kepartian wajar dianggap soal peribadi.

Menyentuh mengenai pemberian bonus kakitangan Kerajaan Negeri menjelang Hari Raya Puasa lepas, Mohd. Faizal menyatakan bahawa bonus tersebut sebagai salah satu motivasi yang banyak membantu beliau di tempat kerja.

“Saya rasa seronok lah. Macam Ketua Menteri kata, jika kita boleh kutip lebih (keuntungan), kita boleh dapat lebih (bonus). Itu yang amat kita puas hati,” beliau berseloroh.