Kampung Buah Pala : Penantian dua tahun berbaloi, pampasan rumah RM500,000

Admin

 

GEORGE TOWN – Kemelut isu Kampung Buah Pala akhirnya sampai ke penghujung apabila 24 keluarga menerima kunci rumah teres dua tingkat bernilai kira-kira RM500,000 dan hak pemilikan kekal daripada Kerajaan Negeri di sini semalam.

Penerimaan pampasan tersebut adalah hasil perbincangan dan inisiatif khas Kerajaan Negeri bersama pihak pemaju, Nusmetro Ventures Sdn. Bhd..

Dalam pada itu, kemudahan dewan serbaguna dan juga sebuah kuil Hindu turut akan dibina dalam tempoh terdekat bagi mengekalkan sebuah kampung baru dengan tradisi masyarakat India.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pemberian tersebut adalah hasil kerja keras banyak pihak termausk Kerajaan Negeri yang sebelum ini dituduh tidak bertanggungjawab ekoran tidak dapat membela nasib penduduk Kampung Buah Pala.

Namun, selepas dua tahun, saya bersyukur kerana Kampung Buah Pala masih kekal di sini bersama-sama penduduknya walaupun namanya kini telah ditukar kepada Taman Buah Pala. Keadaannya juga seperti dahulu, cuma rumah yang dibina lebih selesa,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Buah Pala di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Ahli Parlimen Gelugor, Karpal Singh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Sanisvara Nethaji Rayer, Ahli Exco Kerajaan Negeri dan Pengarah Urusan Nusmetro Ventures Sdn. Bhd.,Thomas Chan.

ZAINAL Roslin.
ZAINAL Roslin.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Zainal Roslin, 79, yang telah menetap di Kampung Buah Pala sejak 1950-an menyatakan bahawa beliau amat berpuas hati dengan pampasan dan hasil usaha Kerajaan Negeri dalam mengembalikan keadilan kepada penduduk Kampung Buah Pala.

Saya sangat berpuas hati. Terima kasih tidak terhingga dengan pemberian ini,” ujarnya yang merupakan bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Bagi seorang suri rumah yang hanya ingin dikenali sebagai Latha, 43, beliau menyatakan bahawa pada permulaannya keluarganya enggan untuk menerima rumah pampasan yang disediakan. Namun, setelah melihat rumah tersebut siap dibina, akhirnya beliau sekeluarga telah bersetuju.

LATHA.
LATHA.

Rumah yang diberikan terlalu cantik dan bernilai tinggi sehingga memaksa kami untuk berfikir semula dan menerima cadangan Kerajaan Negeri,” ujarnya.