Jasa bakti dihargai pembakar semangat Penjawat Awam

Admin

 

GEORGE TOWN – ‘Transformasi Perkhidmatan Teras Kecemerlangan’ yang berpaksikan urus tadbir Cekap, Akauntabel dan Telus ternyata menjadi formula yang mampu melahirkan modal insan yang berdaya saing dalam kalangan pentadbir dan penjawat awam di negeri ini.

Dalam ucapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2010, Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2010 dan Jasamu Dikenang 2011, di sini, beliau menyatakan bahawa memang menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memacu transformasi ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang dinamik dan bertaraf antarabangsa.

Malah beliau turut menekankan bahawa Pulau Pinang tidak memiliki sumber alam semulajadi sebagai pemangkin ekonomi dan pembangunan negeri dan hanya bergantung kepada pembangunan modal insan semata-mata.

Dalam majlis yang sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus menyatakan bahawa penjawat awam negeri mestilah mempunyai inisiatif untuk menghasilkan inovasi terbaru dalam sistem dan proses kerja agar lebih relevan dengan keadaan semasa di samping mengamalkan budaya kerja berkualiti tinggi yang berlandaskan prinsip ‘value for money’.

Mengikut Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) bil.2 tahun 2002, antara syarat pemberian APC ialah seseorang pegawai mestilah berkhidmat genap setahun pada hari terakhir tahun penilaian, jumlah LNPT 85% dan lebih layak dipertimbangkan serta mengambil kira kegiatan dan sumbangan pegawai berkenaan.

Manakala bagi AISA pula, ia diperkenalkan pada tahun 2010 untuk memupuk dan menyemarakkan budaya kreatif dan inovatif dalam sektor awam. Ia juga membawa perubahan yang signifikan untuk meningkatkan kecekapan. Keberkesanan dan kualiti perkhidmatan.

Seramai 239 penjawat awam pelbagai jawatan telah menerima APC, 132 penerima Anugerah Jasamu Dikenang bagi penjawat yang bersara wajib, 22 penerima bagi penjawat yang bersara pilihan dan seorang penerima yang meninggal dalam perkhidmatan.

Bagi Anugerah Inovasi pula, sebanyak empat kategori telah dipersembahkan termasuklah Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AIICT), Anugerah Inovasi Penguruan Kewangan (AIPK), Anugerah Inovasi Pentadbiran Daerah dan Tanah (AIPDT) dan Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT).

Majlis yang diadakan di Hotel Gurney, turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Yusoff Wazir; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd Jait dan beberapa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.