Kesedaran wanita dipertingkatkan melalui ‘Sister Camp 2011’

Admin

 

PARA peserta Sister Camp tekun mengikuti ceramah yang diberikan bersempena penganjuran program berkenaan.
PARA peserta Sister Camp tekun mengikuti ceramah yang diberikan bersempena penganjuran program berkenaan.

 

BUKIT MERTAJAM – Seramai lebih 300 wanita dari pelbagai lapisan usia dan masyarakat menghadiri seminar sehari ‘Sister Camp 2011‘ di Hotel Summit, di sini.

Seminar yang dianjurkan oleh Kwong Wah Yit Poh dan Persatuan Kesedaran Hak Wanita Bukit Mertajam itu, bukan sahaja mendapat sambutan daripada wanita berkerjaya malah turut disertai oleh pelajar, penuntut institusi pengajian tinggi dan suri rumah.

Seramai lima penceramah hadir memberi taklimat berkaitan wanita dan keluarga. Antara topik yang menarik perhatian adalah penjagaan imej, penjagaan kesihatan, perhubungan ibu dan anak-anak serta isu kesamarataan jantina. Hadir sama salah seorang penceramah jemputan khas dari Taiwan, Chen Hong yang menceritakan pengalaman dan perspektif beliau dalam sudut pandangan seorang pencinta makanan.

Menurut Pembantu Khas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chon Pei Voon, seminar tersebut merupakan tahun kedua diadakan dan ia semakin mendapat sambutan. Malah tahun ini, Sister Camp turut diadakan di bahagian Pulau pada Mac lalu dan terbaru di bahagian Seberang Perai pada Ogos lalu.

Penganjuran ‘Sister Camp 2011’ kali ini turut mendapat tajaan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita di Pulau Pinang, hospital malah mendapat penganjuran dari Hokkien Hoay Kuan Seberang Perai, Persatuan Hainan Seberang Perai, Pertubuhan Hakka Seberang Perai, Persatuan Kwong Waai Siew, Persatuan Kebajikan dan Ihsan Sebarang Perai dan Hung Kung Association.