Jejak penerima sumbangan warga emas yang tiada butiran bank lengkap menerusi MPKK – Exco

Admin
PHEE Boon Poh

GEORGE TOWN – Setakat bulan Julai ini hampir 25,000 orang penerima untuk semua kategori di bawah Program iSejahtera termasuk warga emas yang masih belum mendapat bantuan berwajib daripada Kerajaan Negeri bagi tahun 2022 menerusi kaedah pemindahan dana elektronik (EFT) adalah disebabkan tidak mempunyai butiran bank yang lengkap.

Kesal dengan masalah teknikal yang terpaksa dihadapi oleh para penerima berkenaan, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata pihaknya sedang berusaha membuat pembayaran secara tunai dengan bantuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk menjejaki mereka yang layak pada peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).

“Kerajaan Negeri amat prihatin mengenai perkara ini.

“Mereka yang tidak hadir ke Pejabat ADUN (untuk mengemas kini butiran bank, Kerajaan Negeri sedang) menjejaki mereka di lapangan melalui MPKK,” jelasnya menerusi teks WhatsApp kepada Buletin Mutiara di sini pada 21 Julai 2022.

Di samping itu, beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya telah membuat serahan bantuan secara tunai kepada para penerima Program iSejahtera yang tidak mempunyai butiran lengkap bank bagi Daerah Barat Daya, Daerah Timur Laut, Daerah Seberang Perai Tengah dan Daerah Seberang Perai Selatan.

“Ini bayaran untuk tahun 2022, semasa ini yang datang untuk ambil bayaran sumbangan telah dinasihatkan untuk memberi butiran bank.

“(Dan mereka yang tidak ada butiran lengkap bank, bantuan) sedang dibayar secara tunai.

“Untuk Daerah Seberang Perai Utara, akan dibayar pada 23 dan 24 Julai ini (bagi para penerima yang layak),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

 

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB